Anak syarikat IHH tarik balik pelan penyenaraian di India

Anak syarikat IHH tarik balik pelan penyenaraian di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IHH Healthcare Bhd. memaklumkan, Agilus Diagnostic Ltd. telah memutuskan untuk menarik balik permohonan tawaran awam permulaan (IPO) kepada Lembaga Sekuriti dan Bursa India (Sebi).

Agilus Diagnostic merupakan anak syarikat Fortis Healthcare Ltd., syarikat bersekutu IHH Healthcare dengan kepentingan sebanyak 31.17 peratus.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH berkata, tindakan itu disebabkan “pertimbangan komersial dan dengan persetujuan serta perundingan bersama” pelabur persendirian Agilus dan pemegang saham, iaitu International Finance Corp, NYLIM Jacob Ballas India Fund III LLC dan Resurgence PE Pelaburan Ltd.

Katanya, keputusan dibuat pada mesyuarat bersama lembaga pengarah Fortis dan Agilus semalam, namun tidak mendedahkan sebab penarikan berkenaan.

Bagaimanapun, Kumpulan itu menyatakan hasratnya untuk memfailkan semula permohonan prospektus untuk cadangan IPO pada masa hadapan.

“Agilus akan membuat permohonan yang diperlukan kepada Sebi untuk menarik balik draf prospektus tersebut serta-merta dan memfailkan semula untuk cadangan IPO pada masa hadapan, tertakluk kepada undang-undang,” katanya.

Pada Ogos 2023, IHH mengumumkan bahawa Agilus akan memulakan IPO untuk disenaraikan di Sebi melalui tawaran penjualan saham kepada pemegang saham Agilus sedia ada dan yang layak.

Terdahulu, pada November 2018, IHH memperoleh 31.17 peratus kepentingan dalam Fortis, penyedia operasi penjagaan kesihatan berpangkalan di India, melalui peruntukan keutamaan oleh Fortis kepada anak syarikat milik penuh tidak langsung IHH, Northern TK Venture Pte. Ltd., dalam perjanjian berjumlah AS$584 juta (RM2.79 bilion).

Bagaimanapun, pada November 2022, IHH dilaporkan berkata, ia dalam perbincangan dengan Sebi untuk menentukan langkah seterusnya bagi meneruskan tawaran untuk tambahan 26 peratus pegangan dalam Fortis.

Syarikat itu juga dilaporkan memaklumkan, sekiranya IHH menerima kelulusan, ia bersedia untuk melaksanakan tawaran tepat pada masanya.

Pada rehat tengah hari Rabu, saham IHH turun 1.61 peratus atau 10 sen kepada RM6.11, memberikan Kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM53.81 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×