KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menjelaskan, caj fotografi untuk merakam gambar di puncak View Point Wang Kelian hanya dikenakan kepada pihak yang menjalankan penggambaran komersial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, pengunjung yang berhasrat merakam gambar termasuk menggunakan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) untuk tujuan peribadi, hobi atau dimuat naik di media sosial sendiri tidak dikenakan sebarang caj.
Bagaimanapun, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perhutanan negeri yang menetapkan syarat sedemikian untuk menyemak semula keperluan tersebut kerana ramai yang salah faham mengenai caj berkenaan.
“Caj penggambaran ini sudah termaktub di dalam Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Perlis (pindaan) 2019, dan ia sudah dikuatkuasakan sejak tahun 2020.
“Antara lokasi yang sudah dikuat kuasa itu antaranya Rimba Herba Perlis, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam dan Taman Negeri Perlis View Point Wang Kelian.
“Kutipan daripada caj yang dikenakan ini akan digunakan semula untuk aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan kawasan eko pelancongan di bawah Jabatan Perhutanan negeri,” katanya di sini semalam.
Sebelum itu, kecoh di media sosial apabila kadar caj yang dikenakan kepada pengunjung membawa kamera untuk merakamkan gambar di puncak View Point Wang Kelian di sini mendapat kecaman banyak pihak.
Berdasarkan memo dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan negeri, pengunjung tempatan yang membawa kamera atau perakam video akan dikenakan caj RM15 manakala pelancong luar pula perlu membayar sebanyak RM20.
Selain itu, bagi rakaman filem dokumentari, pengunjung tempatan perlu membayar caj RM500 sehari manakala pelancong luar dikenakan bayaran RM1,000 sehari.
Untuk sesi fotografi pula, pengunjung tempatan perlu membayar RM200 sehari dan pelancong luar pula dikenakan caj RM400 sehari.
Bagaimanapun, caj merakamkan gambar berkenaan tidak dikenakan kepada mereka yang menggunakan telefon bimbit.
Tambah Wan Badariah, kerajaan negeri akan terus menambah baik fasilti ekopelancongan di Perlis.
“Bagi mereka yang hendak buat penggambaran komersial, sila jujur dan maklumkan kepada kakitangan yang bertugas terlebih dahulu.
“Semoga penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan yang sedang berlegar di media sosial,” katanya. – UTUSAN










