Adakah berbaloi kejar kekayaan di Malaysia?

Adakah berbaloi kejar kekayaan di Malaysia?

TIDAK banyak orang Melayu yang membayangkan untuk menjadi jutawan. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terdengar perbualan dua orang wanita di pekarangan sebuah hentian stesen LRT pada satu petang. Yang seorang berkata dia sudah pun berhenti kerja kerana masalah orang gaji.

Yang seorang lain mengakui sukarnya bekerja pada waktu yang sama mengurus keluarga. Dia akan berhenti kerja juga, katanya, apabila suaminya meraih satu juta.

Kata-kata itu terngiang-ngiang ke telinga saya sampai ke hari ini. Wanita itu, sesuai dengan kecenderungan masa kini, membayangkan perlunya si suami membuat ‘juta’nya yang pertama.

Nampaknya semuanya kini harus bermula dari perkataan keramat jutawan. Ahli-ahli perniagaan yang baharu juga menggunakan ‘juta’ sebagai sasaran pencapaian mereka.

Pegawai kerajaan yang bersara awal untuk mencuba diri dalam bidang perniagaan juga membayangkan bahawa ‘di luar’ ada ‘juta’ yang perlu dikejar.

Pada zaman P.Ramlee mencemuh orang berada dan berkedudukan dalam Penarik Beca, Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku dan siri Bujang Lapuknya, tidak banyak orang Melayu yang membayangkan untuk menjadi jutawan. Lagi pula konsep itu terlalu asing bagi orang Melayu.

Dalam konteks filem-filem P.Ramlee, orang Melayu tidak ada sebab untuk menjadi kaya. Sebab imej orang kaya sama ada bakhil, kejam atau jahat.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan ratusan malah ribuan jutawan Melayu. Dasar itu memberi peluang anak-anak Melayu untuk berniaga secara besar-besaran.

Sebahagian daripada mereka memang benar-benar berjaya. Maka bermulalah era ‘Orang Kaya Baharu’, Melayu (OKB). Mereka pula mulai terdedah dengan kehidupan mewah dan terpengaruh dengan golongan yang disebut Jet-set antarabangsa.

Namun demikian, mereka sebenarnya masih amat Melayu, cuma amat stylish, trendy dan sofistikated. Mereka memang mampu hidup mewah. Semua itu berkat tidak tidur nyenyak membina perusahaan, mengatur strategi dan berani berhutang.

Bukan sahaja kemewahan itu terlihat pada rumah, perabot dan peralatan tetapi mereka terbiasa dengan fesyen paling baharu, paling mahal dan paling terkenal.

Benarlah mereka membeli-belah di New Bond Street atau Harrod di London tetapi sekiranya mereka kepingin udang terbaik dari Afrika Selatan, ia pasti diterbangkan khas ke mari.

Malah, bagi melengkapkan imej dan “keranggian” seorang yang berjaya, dia perlu memakai suit Brioni, berbaju Armani, bertali leher Donna Karan dan berkereta Mercedes Benz. Oh ya, satu lagi. Cerut yang terbaik tentunya, jenis Esplendidos dari jenama Cohiba yang mahal dan terkenal itu.

Harta dan kekayaan itu amat relatif sebenarnya. Sekotak Cohiba berisi 25 batang mungkin berharga cecah RM7,000 atau sama dengan gaji pegawai teratas kerajaan yang sudah bekerja lapan tahun.

Satu kali makan di restoran mahal di Kuala Lumpur untuk lima orang mungkin melebihi RM2,000 atau mungkin menyamai gaji pokok seorang pemandu sebulan.

Di Malaysia pun, gelaran yang membawa kepada bilionair atau ‘jutawan diam-diam’ mungkin terhakis nilainya akibat gagal mematuhi notis isytihar harta. Tetapi dia masih ada lagi berbilion.

Orang seperti itu sudah pasti akan memagari diri dari undang-undang dengan duit dan kekayaan. Namun realiti buat masyarakat marhaen, sungguhpun terpaksa menghidupkan tujuh orang anak, mereka jauh lebih bahagia dari bilionair itu. – UTUSAN

ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH
Jurutera pembinaan
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×