KANGAR: Langkah menyelaraskan harga beras tempatan dan import dengan harga RM30 hingga RM33 setiap 10 kilogram (kg) bakal memben dung isu penipuan dan manipulasi sekali gus menyelesaikan masalah bekalan makanan ruji tersebut.
Kenaikan dari RM26 ke RM30 hingga RM33 bagi berat 10 kg itu juga sudah tiba masanya dilaksanakan selepas 18 tahun harga beras tidak naik sejak 2006.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, masalah ketiadaan bekalan beras tempatan kebelakangan ini berpunca daripada tindakan syarikat-syarikat besar atau pemborong beras menipu pengguna dengan menukar atau mencampur beras tempatan dengan import sekali gus menjual pada harga beras import.
Katanya, langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah berlarutan itu adalah menyelaras harga dan menetapkan satu gred beras sahaja.
Ujarnya, peningkatan tersebut tidak membebankan pengguna memandangkan harga beras ‘import’ tersebut jauh lebih mahal antara RM40 sehingga RM50 bagi 10 kg.
“Sudah tiba masanya harga beras diselaras dengan satu gred sahaja tanpa perlu ada label import dan tempatan itu dilaksanakan. Langkah tersebut mampu menangani isu manipulasi dan penipuan sehingga menjejaskan bekalan beras tempatan di pasaran.
“Sudah lama harga beras ini tidak naik dengan kali terakhir pada 2006. Industri beras negara terus berkembang dan harga tersebut (RM30) masih lagi relevan dalam situasi semasa ini. Malah, ia jauh lebih murah daripada harga beras ‘import’ yang memonopoli pasaran sejak kebelakangan ini,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bercadang untuk menyelaraskan harga beras tempatan dan import bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri beras.
Cadangan tersebut bakal menyaksikan harga beras tempatan yang kini dijual di pasaran RM26 bagi setiap 10 kg akan meningkat kepada sekitar RM30 hingga RM33.
Sebelum ini, orang ramai sering mengeluh ketiadaan beras tempatan di pasaran yang terus berlarutan sedangkan Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok penimbal dan 650,000 tan stok dagangan.
Utusan Malaysia sebelum ini juga pernah melaporkan mengenai kartel atau ‘mafia’ padi yang didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.
Sementara itu, Marzukhi berkata, apabila penyelarasan tersebut dilaksanakan, kilang-kilang besar ini juga sudah tidak boleh bermain harga belian padi yang kesannya akan menyebabkan pelbagai kos meningkat.
Beliau percaya, menerusi penyelarasan harga tersebut juga bakal menstabilkan kembali harga input pertanian dan kos-kos lain seperti sewaan jentera dan sebagainya yang selama ini berterusan menekan para pesawah.
“Apabila kilang-kilang besar ini bermain harga belian padi dengan ada yang menetapkan terlalu tinggi akan menyebabkan berlakunya kenaikan lain seperti input pertanian, sewaan jentera, kos-kos racun dan pelbagai lagi berkaitan sawah padi ini.
“Kilang-kilang besar yang juga mempunyai syarikat pemborong beras ini tidak kisah bermain harga kerana mereka boleh memanipulasi dengan campuran beras atau menukar beras tempatan kepada import bagi mengaut keuntungan lebih,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, industri beras negara sepatutnya sudah jauh ke depan dengan isu-isu lain seperti kelewatan bekalan benih setiap musim, penjadualan tanaman disebabkan masalah saliran dan lain-lain perlu diselesaikan.
“Saya juga mencadangkan agar bekalan benih padi sah diberikan terus kepada petani bukan lagi melalui pengilang-pengilang ini,” katanya. – UTUSAN










