KWSP beri Ekovest lanjutan laksana `pelan keluar' DUKE

KWSP beri Ekovest lanjutan laksana `pelan keluar’ DUKE

EKOVEST memegang kepentingan dalam Lebuhraya DUKE melalui anak syarikatnya, Lebuhraya Utara-Tmur (KL) Sdn. Bhd.–- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekovest Bhd. mendapat lanjutan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melaksanakan `pelan keluar’ daripada Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd., syarikat konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Syarikat itu dalam pemfailan ke Bursa Malaysia memaklumkan, ia telah diberi lanjutan satu tahun dengan lanjutan automatik selama setahun lagi untuk `tarikh keluar lanjutan’ di bawah perjanjian pemegang saham hingga 12 Februari 2026.

“Untuk makluman, syarikat dan KWSP sedang menilai pelbagai pilihan berdaya maju secara bersama untuk melaksanakan pelan keluar atau sebarang pelan alternatif demi kepentingan terbaik pihak-pihak terlibat,” katanya.

Saham Ekovest antara kaunter mencatatkan untung dalam dagangan pagi semalam.

Pada pukul 11.40 pagi, saham Ekovest menokok dua sen kepada 54.5 sen dengan 10.47 juta saham diniagakan.

Pada 2016, Ekovest memaklumkan, ia melupuskan 40 peratus kepentingan dalam  Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) kepada KWSP pada harga RM1.13 bilion.

Kesturi ialah pemegang konsesi Lebuhraya DUKE sepanjang 34 kilometer terdiri daripada dua fasa, dengan tempoh konsesi selama 54 tahun.

Ia sebelum ini merupakan unit milik penuh tidak langsung Ekovest. Setelah selesai penjualan kepentingan, ia mempunyai 60 peratus kepentingan dalam Kesturi, menurut makluman itu.

Ekovest berkata, baki hasil pelupusan akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, bayaran keluar, modal kerja dan perbelanjaan operasi korporat.

Menurut laporan, Ekovest dikawal oleh pemegang saham utama dan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kang Hoo, yang memiliki kepentingan 32.38 peratus, bersama Datuk Harris Onn Hussein yang memegang 13.84 peratus kepentingan.

Pada 2012, Ekovest telah membeli 70 peratus kepentingan dalam Kesturi di bawah urus niaga pertukaran saham RM325 juta. Dua tahun kemudian, Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB) telah melepaskan 30 peratus pegangannya dalam Kesturi kepada Ekovest secara tunai sebanyak RM230 juta.

Dan pada 2016, Ekovest memaklumkan dalam usaha untuk melupuskan 40 peratus kepentingan dalam Kesturi kepada KWSP. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×