KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan menubuhkan pasukan Angkatan Masa Hadapan untuk mengukuhkan lagi keselamatan negara sebagai persediaan menghadapi ancaman berbentuk teknologi digital.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan merekrut anggota tentera yang berkebolehan dalam bidang pengkomputeran termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI) terutama mereka yang mahir dalam penggodaman siber.
Beliau berkata, banyak penganalisis meramalkan pertempuran kuasa akan lebih melibatkan kecanggihan teknologi seperti dron dan aset yang dikawal secara digital.
“Hari ini kita dapat melihat penggunaan secara meluas teknologi maklumat (IT) dan menjadi trend yang dilaksana tentera di seluruh dunia, maka kita juga tidak boleh ketinggalan.
“Ia akan mula menjadi norma untuk pasukan-pasukan angkatan tentera melakukan proses merekrut yang menyasarkan golongan seperti penggodam sebagai sebahagian anggota pertahanan negara,” katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, KPP itu diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan dilaksanakan mengikut perancangan sejak tahun 2020 sehingga kini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Katanya, pada masa ini KSP KPP akan mengumpulkan pandangan semua pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah libat urus seperti mesyuarat, persidangan, bengkel dan soal selidik secara atas talian.
“Rakyat juga boleh mengambil bahagian dengan memberikan pandangan dan cadangan melalui portal KSP KPP menerusi kspkpp.mod.gov.my,” ujarnya. – UTUSAN










