Tentera Israel `rompak' bank di Gaza

Tentera Israel `rompak’ bank di Gaza

TENTERA Israel melakukan rondaan di Gaza di tengah-tengah pertempuran berterusan dengan Hamas. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Tentera Israel dilaporkan menyerbu dan merampas wang tunai berjumlah AS$54.29 juta (RM258.6 juta) daripada ibu pejabat Bank of Palestin di Gaza.

Lapor Agensi Anadolu yang memetik akhbar Maariv, tentera Israel mendakwa langkah itu diputuskan di peringkat atasan.              

Maariv yang memetik kenyataan pegawai Israel melaporkan pasukan tentera Zionis mengambil dana diperuntukkan untuk Pihak Berkuasa Palestin di kawasan kejiranan Al-Rimal pada minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat ini, Pihak Berkuasa Palestin mahupun Pergerakan Penentangan Palestin Hamas masih belum memberi respon berhubung laporan itu.

Bagaimanapun, tentera Israel mewajarkan tindakan itu dengan mengemukakan alasan yang tidak masuk akal.

“Askar Israel berada di ibu pejabat Bank of Palestin di Gaza minggu lalu untuk menyekat dana itu daripada sampai kepada Hamas,” kata jurucakap tentera Israel kepada Maariv.

Jurucakap itu tidak mendedahkan butiran lanjut kepada akhbar tersebut namun hanya menyatakan langkah itu diputuskan di peringkat atasan.

Rejim Zionis terus melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di wilayah itu.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 28,176 penduduk Palestin terbunuh manakala 67,784 cedera dalam serangan berterusan Israel di Gaza sejak konflik meletus pada 7 Oktober tahun lalu.

Malah, sekurang-kurangnya 8,000 penduduk gagal dikesan atau dianggap sudah meninggal dunia di bawah runtuhan rumah yang musnah akibat pengeboman di seluruh Gaza.

Pertubuhan Palestin dan organisasi antarabangsa mendedahkan kebanyakan mangsa yang terbunuh terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Pencerobohan Israel juga menyebabkan pemindahan secara paksa membabitkan hampir dua juta penduduk Palestin dari seluruh Semenanjung Gaza.

Sebahagian besar penduduk itu terpaksa melarikan diri ke bandar Rafah di selatan Gaza berhampiran sempadan dengan Mesir. 

Situasi itu juga dianggap sebagai penghijrahan beramai-ramai yang terbesar di Palestin sejak peristiwa Nakba 1948.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini