GAZA CITY: Kumpulan Hamas memberi amaran kepada Israel bahawa serangan darat di bandar Rafah yang sesak dengan penduduk Gaza, akan menjejaskan rundingan pembebasan tebusan pada masa hadapan.
Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut menggesa perlindungan orang awam di wilayah yang dikepung itu.
Kerajaan asing termasuk sekutu utama Israel, AS dan kumpulan bantuan menyuarakan kebimbangan terhadap ikrar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mahu melanjutkan operasi ketenteraan jauh ke selatan Gaza.
Rafah yang bersempadan dengan Mesir, kekal sebagai tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri daripada pengeboman berterusan Israel di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
“Sebarang serangan dilakukan oleh tentera Zionis ke atas bandar Rafah akan menjejaskan rundingan pertukaran,” kata seorang pemimpin Hamas yang enggan mendedahkan identitinya.
Sebelum ini Netanyahu mengarahkan pasukan tentera supaya bersiap sedia memasuki bandar yang kini menempatkan lebih separuh daripada jumlah penduduk Gaza.
Langkah itu dilihat bakal mencetuskan kebimbangan mengenai kesan terhadap orang awam yang dipindahkan.
Sabtu lalu, pemimpin Hamas di Gaza memberi amaran operasi tentera Israel yang dirancang rejim Zionis itu boleh menyebabkan puluhan ribu korban di bandar tersebut.
Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin bersesak ke Rafah, dengan ramai yang tinggal di dalam khemah manakala makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.
Baru-baru ini, Netanyahu memberitahu penyiar AS, ABC News operasi di Rafah akan diteruskan sehingga Hamas dihapuskan.
Malah, kata pemimpin itu, pihaknya juga akan menyediakan `laluan selamat’ kepada orang awam yang ingin meninggalkan kawasan itu.
Pengantara mengadakan rundingan baharu di Kaherah, Mesir untuk menghentikan seketika pertempuran dan pembebasan beberapa daripada 132 tebusan yang didakwa Israel masih berada di Gaza termasuk 29 yang dianggap terkorban.
Berdasarkan perkiraan AFP dengan mengambil kira data Israel, Hamas menahan kira-kira 250 tebusan pada 7 Oktober tahun lalu.
Dilaporkan, puluhan sudah dibebaskan ketika gencatan senjata selama seminggu pada November tahun lalu.
LINDUNGI PENDUDUK RAFAH
Sementara itu, Biden menerusi panggilan telefon dengan Netanyahu memaklumkan operasi ketenteraan di Rafah tidak harus diteruskan melainkan terdapat pelan bagi memastikan keselamatan penduduk dibentangkan terlebih dahulu.
Biden menegaskan pandangannya bahawa Israel tidak seharusnya melaks operasi ketenteraan di Rafah tanpa mempunyai pelan berwibawa dan boleh dilaksanakan.
“Langkah itu bagi menjamin keselamatan dan sokongan kepada lebih sejuta penduduk yang berlindung di sana,” jelas White House dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kanan pentadbiran AS memaklumkan `di bawah peraturan semasa’, Washington tidak dapat menyokong operasi ketenteraan di Rafah disebabkan kepadatan penduduk.
“Mereka tiada tempat lain untuk dituju,” katanya. – AFP











