KPT fokus cabaran baharu mahasiswa, IPT

KPT fokus cabaran baharu mahasiswa, IPT

ZAMBRY Abdul Kadir ditemu ramah wartawan Utusan Malaysia, Zabry Mohamad Madzlan (kanan) dan Omar Zin (tengah) di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SETIAP kali sesebuah kementerian bertukar menteri, maka sudah pasti akan ada dasar-dasar baharu diperkenalkan.

Namun, bagi DATUK SERI DR. ZAMBRY ABDUL KADIR yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu pada 12 Disember 2023, beliau meneruskan dasar-dasar telah ditetapkan oleh menteri sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Baginya, bidang pendidikan perlu ada dasar yang jelas untuk satu tempoh jangka panjang.

Ikuti temu bual beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bersama wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan OMAR ZIN dibantu jurufoto, FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Apa pelan dan hala tuju KPT bagi 2024?
Zambry: Yang pertama, kita tidak mahu mewujudkan pelan ataupun dasar baharu. Apabila menteri baharu datang, ada pula dasar baharu. Dalam bidang pendidikan ini, perlu ada dasar yang jelas untuk satu tempoh jangka panjang.
Sebab itu, apa yang ditetapkan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kita teruskan, manakala untuk tahun-tahun akan datang, kita tetapkan sasaran-sasaran berdasarkan pelan jangka panjang.

Kali ini saya meletakkan lima fokus utama iaitu penyediaan bakat terbaik, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pendekatan baharu program, pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Dalam lima fokus ini, kita ada 20 landasan hala tuju. Di universiti-universiti kita akan buat perbincangan tentang korpus ilmu, maksudnya universiti kena berbicara soal-soal ilmu, ilmu yang baharu dan sebagainya dan memberi juga penekanan kepada nurturing young leaders untuk terus membina golongan pemimpin-pemimpin muda yang baharu.

Kita juga perkukuhkan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi supaya menjadi tempat latihan kepimpinan, bukan hanya untuk Malaysia tetapi untuk peringkat antarabangsa. Jadi, banyak perkara ke arah sistem yang mewujudkan ekosistem dalam universiti.

Saya juga nak buat program jerayawara iaitu turun ke bawah, pemukiman. Berada di lapangan mendengar kisah-kisah dan cerita-cerita daripada mereka, permasalahan yang mereka hadapi.

Bagaimana Datuk Seri melihat saranan Perdana Menteri mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI)?
Salah satu perkara yang akan kita laksanakan untuk 2024 ialah penekanan istimewa kepada AI. Ini satu keperluan bagi mempersiapkan diri kita bagi menghadapi zaman baharu ini.

Universiti-universiti perlu menawarkan kursus-kursus yang ada sambutan yang mana zaman ini adalah zaman AI, maka Perdana Menteri telah pun mengarahkan supaya AI ini menjadi agenda utama negara pada kali ini termasuklah dalam soal menyediakan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang AI dan di mana institusi pengajian tinggi bertanggungjawab untuk menyediakan tenaga manusia.

Berdasarkan data KPT, terdapat sebanyak 10 program AI di universiti awam melibatkan dua program di tahap pra-siswazah dan lapan program di tahap pasca-siswazah.

Manakala terdapat sejumlah lapan kursus pengajian yang melibatkan bidang AI ditawarkan di lapan buah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) menurut sistem e-IPTS.

Jadi, kita mesti buat persiapan dari sekarang. Persiapan itu mungkin akan mengambil masa tetapi tidak boleh terlalu panjang kerana AI bukan hanya kita menanti, AI sudah mula ada.

Ia sudah berada di sekeliling kita dan apa yang menjadi cabaran kepada kita ialah bagaimana kita nak menambahkan bilangan mereka yang terlibat dalam bidang ini dan juga selaras dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Bagaimana dakwaan semakin ramai lepasan sekolah yang enggan sambung belajar di peringkat universiti?
Berdasarkan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh KPT, bilangan graduan yang belum bekerja selepas enam bulan menamatkan pengajian adalah seramai 41,467 orang atau 14.5 peratus daripada 286,299 graduan warganegara pada 2021 dilapor menganggur dan seramai 29,099 orang atau 9.8 peratus daripada 295,962 graduan warganegara pada 2022 dilapor menganggur.

Apa yang kita dapati ialah kecenderungan dalam kalangan pelajar. Pelajar kelihatan ramai sekali yang mahu pergi ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk melihat hal ini supaya kita melahirkan mereka yang terlibat atau mahu memilih bidang kerjaya mereka dalam bidang TVET dan vokasional.

Mereka mempunyai kemahiran dan kerajaan juga sedang memikirkan, berbincang supaya mereka yang lahir daripada bidang-bidang ini yang mungkin tidak mahu belajar dalam bidang di universiti, bidang-bidang biasa ini dan mereka lebih memberi tumpuan kepada bidang kemahiran.

Kita cuba buka dari segi potensi itu dengan dasar yang agak fleksibel iaitu kita tahu mereka dari segi keupayaan mereka. Keputusan dia mungkin baik tetapi dia tidak memilih untuk pergi melanjutkan pelajaran dalam bidang sains sosial sebagai contoh ataupun dalam bidang-bidang biasa termasuk kejuruteraan.

Mereka suka nak kerja terus, tidak bermakna dia tidak berjaya dalam pelajaran.

Di bahagian TVET dan vokasional, kita telah pun memikirkan pendekatan yang lebih fleksibel.

Kita benarkan mereka bekerja, tapi dalam masa yang sama, sistem work-based learning merupakan satu usaha kerjasama antara pihak universiti dan pihak industri.

Pihak kerajaan akan menetapkan satu industri itu sebagai tempat mereka akan menjadi pelajar dan sekali gus bekerja di tempat berkenaan dan akhirnya selepas dia tamat pengajiannya pada satu tempoh, katakan empat hingga lima tahun, maka mereka akan diberi sijil ataupun ijazah, bergantung kepada peringkat mana pengajian mereka, sama ada di peringkat sijil, diploma atau ijazah dan ini sedang dirangka dan mulai dilaksanakan dan ia fleksibel.

Dia mungkin tidak mahir dalam mendengar kuliah tapi dia mahir dari segi kemahiran dan kita tidak boleh nafikan, negara perlukan juga tenaga-tenaga kerja sebegini.

Jadi, dasar kita mesti agak fleksibel dalam memberi ruang dan menggarap potensi setiap pelajar supaya bidang yang mereka pilih bersesuaian dan bertepatan dengan minat mereka, dengan kehendak mereka dan juga dalam masa sama memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam bidang-bidang tertentu.

Dia bekerja sambil belajar. Dia terus diambil bekerja dan setengah kilang industri itu, dia akan bayar elaun kepada pelajar ini untuk sampai ke satu peringkat.

Ini telah pun dilaksanakan di banyak negara, Jerman umpamanya dan Jepun juga menjadi negara yang sudah pun mengamalkannya.

Bagaimana kebimbangan pelajar terhadap kos sara hidup terutama bayaran pinjaman?
Saya mendengar luahan perasaan dan juga masalah dihadapi siswa-siswi selepas mereka menamatkan pengajian dan kita memperhalusi melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tentang kedudukan mereka, keadaan mereka.

Sebab itu telah lihat betul-betul dasar PTPTN yang memberi kelonggaran-kelonggaran tertentu. Umpamanya dalam tempoh beberapa tahun dia tidak mendapat pekerjaan.

Maka, PTPTN tidak akan menekan mereka, walau apa cara sekalipun, mereka perlu bayar. Ia tidak menjadi seperti institusi-institusi kewangan dan ia lebih kepada institusi yang akan mengutip balik bagi digunakan wang itu untuk kumpulan lain.

Sebagai contoh, bagi mereka yang tidak mendapat peluang pekerjaan lagi, mereka perlu maklumkan kepada PTPTN dan biasanya dia ada satu tempoh yang diberikan, bergantung kepada tempoh masanya.

Tapi kalau dia buat tidak peduli, dia buat tidak tahu sahaja, itu yang jadi masalah. PTPTN telah pun menasihatkan berkali-kali kepada mereka. Saya faham bukan semua begitu mudah untuk dapat pekerjaan tetapi mereka perlu maklumkan, tidaklah sampai ke satu peringkat PTPTN akan ambil tindakan.

Walau apa cara sekalipun, mereka kena bayar tetapi dalam masa sama rasa, tanggungjawab itu sangat penting kepada kita.

Ada kes yang langsung tidak bayar dan ada kes yang langsung dia tidak pedulikan, golongan inilah yang menjadi satu masalah, mereka ini tidak mahu langsung membayar.

Maka, tentunya langkah-langkah drastik perlu diambil, bukan kita nak tekan lagi kepada mereka lebih susah. Cuma mereka perlu datang maklumkan kepada kita.

Adakah data PADU boleh digunakan untuk membantu pelajar B40?
Ya, Data PADU adalah digunakan untuk membantu kerajaan, kementerian merangka apa sahaja program dan inisiatif bagi golongan sasar yang menepati kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan dan kementerian.

Bagaimana tahap kebolehpasaran graduan ketika ini?
Matlamat kita 120,000 enrolmen politeknik pada 2027. Enrolmen politeknik pada 2022 adalah 77,816.

Dalam konteks politeknik, saya difahamkan lebih daripada 96 ke 97 peratus dan ada setengah politeknik kata 98 peratus. Ada yang kata 97 peratus, maknanya dari segi kebolehpasaran, pelajar-pelajar yang lahir dan keluar daripada politeknik khususnya begitu baik sekali.

Dalam konteks TVET ini memang cukup popular kerana kebanyakan politeknik itu dia ada niche programme yang juga menjadi perhatian dan rebutan daripada kalangan industri yang ada.

Sebab itu keluaran politeknik kebiasaannya tidak mempunyai masalah pengangguran apabila khususnya dalam sektor-sektor teknikal di kolej-kolej swasta.

Jadi, permintaan memang tinggi. Sebab bidang itu ada permintaan sebab ia attach dengan program-program profesional sedia ada.

Bagaimana penglibatan politik dalam kalangan graduan dan mahasiswa di universiti?
Kita kena menerima kenyataan bahawa oleh kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan dipinda dan diubah, maka elemen-elemen yang berkaitan dengan mahasiswa dan pergerakan mereka tidak boleh lagi dijadikan sekatan.

Hari ini pun dari segi aktiviti-aktiviti yang berteraskan kepartian tidak lagi menjadi salah satu perkara yang tabu di universiti.

Dengan pindaan-pindaan dalam AUKU, maka dari segi kebebasan mereka, sekarang pun kita lihat ada universiti yang datang waktu kempen pun, dia jelas meletakkan dan menyatakan dari segi pilihan politiknya.

Program-program yang diaturkan sekarang ini pun, hanya pihak universiti perlu memaklumkan kepada pelajar ataupun penganjur untuk membuat program-program yang tidak bercanggah dengan kedudukan universiti dan tradisi keilmuan di universiti tapi untuk menghalang sesebuah parti itu, ia sudah berbeza dengan dulu.

Sebab sekarang ini, kedudukan AUKU tidak seperti dahulu. Jadi, saya tidak nampak dari segi perlu adanya hal yang menekan pelajar daripada menyuarakan pandangan, sebab kita hidup dalam satu persekitaran yang baharu pada hari ini.
Mahu tidak mahu, orang akan mendapat maklumat sepintas kilat daripada semua sumber-sumber di media sosial, dengan telefon pintar. Semuanya ada di situ dengan pergerakan-pergerakan dan aktiviti parti.

Survival BN macam mana?

Tahun ini merupakan 50 tahun BN. Dan ia merupakan satu tahun yang akan memberi refleksi besar kepada kita bagi memikirkan. kedudukan BN.

Di tengah-tengah politik yang ada dalam negara kita, di tengah-tengah percaturan politik dan juga di tengah-tengah landskap politik baharu yang ada dalam negara kita.

Kalau dulu sebagai contoh, BN merupakan parti teras kepada pemerintahan negara.

Hari ini BN berada di posisi perkongsian bersama dengan parti-parti yang lain yang ada dalam negara.

Inilah antaranya yang sekarang kita fikirkan bagaimana kita nak melihat semula to the reflection keadaan kedudukan BN.

Politik itu adalah sesuatu yang dinamik, yang berubah, yang sentiasa, bergerak ke hadapan dan BN harus memikirkan untuk survivalnya.

10 tahun 15 tahun termasuk 50 tahun akan datang. Bagaimana akan terjadi kepadanya?

Ini termasuklah dengan beberapa amalan ataupun peruntukan-peruntukan yang ada di dalam perlembagaan BN itu sendiri.

Dari segi kita melihat semula kepada branding kita. Bagaimana kita nak dalam bahasa Inggeris disebut sebagai reimagine.

Imagining BN untuk tempoh masa depan yang akan datang.

Tentunya ada yang mengatakan respons, pandangan politik ada katakan pemimpin BN mungkin sudah tidak relevan, BN masih relevan.

Tapi dalam konteks macam mana pandangan-pandangan yang ada dalam dunia demokratik yang begini dengan pandangan-pandangan rakyat yang terbuka.

Mereka tentunya ada pandangan-pandangannya. Tetapi apa pun inilah parti yang pernah melalui pasang surutnya, tetapi dalam masa sama sepanjang perjalanannya sebuah parti yang membina negara selama ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×