ISKANDAR PUTERI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta melaksanakan kaedah pengezonan, khususnya melibatkan premis perniagaan berbentuk hiburan seperti spa dan karaoke
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu akan memberikan situasi menang-menang kepada semua dan langkah itu turut disokong oleh pihak polis kerana memudahkan mereka membuat pemantauan.
“Beberapa tahun lalu di Kulai, kita berdepan satu masalah apabila premis spa beroperasi di kawasan berhampiran perumahan dan kampung-kampung, banyak aduan diterima daripada penduduk.
“Bagi melakukan penambahbaikan, kita laksana kaedah ‘zoning’ dengan mengumpulkan premis-premis sedemikian untuk beroperasi di kawasan tertentu. Maksudnya premis spa dan karaoke tidak beroperasi secara bersepah di kawasan perumahan, kampung-kampung atau berhampiran sekolah,” katanya selepas menerima sumbangan SWM Environment untuk disalurkan kepada 750 keluarga B40 di negeri ini daripada Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.
Dalam pada itu, Mohd. Jafni memberitahu, kesemua 16 PBT di negeri ini turut diminta mempertingkat operasi melibatkan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing.
“PBT di Johor tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan warga asing untuk berniaga di negeri ini. Malah, jika ada warga tempatan yang menggunakan nama mereka untuk membenarkan warga asing berniaga, tindakan batal lesen boleh diambil.
“Saya juga sudah keluarkan arahan bermula tahun ini, semua PBT perlu menubuhkan pasukan khas untuk turun ke lapangan bagi menyemak perniagaan-perniagaan yang dijalankan warga asing.
“Perkara ini perlu dilakukan untuk membela peniaga-peniaga kecil tempatan daripada terus mengalami kekurangan perniagaan kerana terpaksa bersaing dengan warga asing yang kebiasaannya menjual pada harga lebih murah,” jelasnya.
Mohd. Jafni turut menggesa para pengguna untuk memberi sokongan kepada peniaga tempatan dengan membeli barangan jualan mereka dan bukan memilih premis perniagaan warga asing. – UTUSAN










