PETALING JAYA: Pelakon, Sharifah Amani, 37, memaklumkan buat masa ini lebih selesa untuk merahsiakan jantina bayi dalam kandungannya dan tidak berkongsi perkara itu di media sosial.
Katanya, tiada keperluan untuk menguar-uarkan perkara tersebut meskipun dia dan suami sudah mengetahui tentang jantina bayi sulungnya itu.
“Biarlah saya rahsiakan hal seperti ini. Saya tak akan umum (jantina anak) di media sosial kerana ia perkara peribadi.
“Cukuplah saya kongsikan yang saya sudah hamil. Itu pun supaya mereka yang bekerja dengan saya maklum akan keadaan saya,” katanya.
Amani sah bergelar isteri kepada Sairul Zamri Misrani pada 10 September 2022.
Pelakon yang popular menerusi filem Sepet itu baru-baru ini memaklumkan kehamilannya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram.
Pada masa yang sama, Amani juga bersyukur kerana proses kehamilannya setakat ini lancar dan tidak bermasalah.
Justeru dia berterima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang tidak putus-putus mendoakan kebaikan untuknya.
“Sejujurnya saya tak hadapi perkara aneh sepanjang kehamilan saya. Apatah lagi mengidam, memang tak ada.
“Yang jelas adalah selera makan saya semakin bertambah, mengakibatkan berat badan saya juga bertambah. Perkara itu luar biasa bagi seseorang yang sukar untuk naik berat badan macam saya.
“Apa pun, yang mendoakan saya dan bayi dalam kandungan saya, terima kasih. Semoga kalian juga beroleh kebaikan,” kongsinya.










