Perkasa undang-undang syariah bukan bahan politik

Perkasa undang-undang syariah bukan bahan politik – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita pada Majlis Kunjungan Kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perbincangan ahli Parlimen beragama Islam berhubung langkah memperkasa undang-undang syariah boleh dilaksanakan namun tidak seharusya dijadikan sebagai bahan politik untuk mempopularkan pihak tertentu semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keputusan Mahkamah Persekutan pada Jumaat lalu yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 itu merujuk kepada peruntukan perundangan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan tiada mempunyai sebarang kaitan dengan Mahkamah Syariah.

“Soal perbincangan boleh diadakan, tetapi kita mesti sama-sama menelaah mengenai soal penyatuan fikrah dan tidak jadikan politik sebagai garis utama.

“Selepas ‘terhantuk ke dinding’, baru menyebut mengenai mahu memanggil seluruh orang Islam untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu,” katanya semasa kunjungan kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, di sini hari ini.

Media melaporkan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, mengajak semua pihak, terutama ahli Parlimen beragama Islam untuk bergabung demi memperjuangkan undang-undang syariah terhadap umat Islam.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Pas sebenarnya telah mengetahui keputusan yang dilaksanakan oleh Mahkamah Persekutuan itu bersesuaian dengan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Soal ini soal besar, namun kita berasakan soal perundangan, apatah lagi membabitkan perundangan syariah ia tidak harus menjadi isu politik sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Ia bukan soal yang terkait dengan peruntukan dalam undang-undang syariah di mana-mana negeri sekali pun.

“Sepatutnya perkara ini sudah dibangkitkan pada 2021 ketika kerajaan terdahulu memerintah dan di Kelantan masih lagi kerajaan yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×