Junta Myanmar kuatkuasa undang-undang perkhidmatan tentera

Junta Myanmar kuatkuasa undang-undang perkhidmatan tentera

JUNTA Myanmar menguatkuasakan undang-undang membenarkan tentera merekrut semua lelaki dan wanita berkhidmat sekurang-kurangnya selama dua tahun. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta Myanmar menguatkuasakan undang-undang membenarkan tentera memanggil semua lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas untuk berkhidmat dalam pasukan itu sekurang-kurangnya selama dua tahun selepas berdepan beberapa siri kekalahan kepada pakatan kumpulan bersenjata etnik minoriti.

Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak pengambilalihan tentera pada Februari 2021, yang menamatkan percubaan 10 tahun untuk mengekalkan demokrasi dan mencetuskan protes besar-besaran serta tindakan tegas terhadap perbezaan pendapat.

Pasukan maklumat Junta menerusi satu kenyataan mengeluarkan pemberitahuan penguatkuasaan Undang-undang Perkhidmatan Tentera Rakyat yang bermula dari 10 Februari 2024.

Undang-undang itu dikarang oleh Junta sebelumnya pada 2010 tetapi tidak pernah dikuatkuasakan.

Kenyataan itu menjelaskan, Kementerian Pertahanan Junta akan mengeluarkan undang-undang kecil, prosedur, perintah pengumuman, pemberitahuan dan arahan yang diperlukan bagi merekrut golongan lelaki berusia 18 hingga 35 tahun dan wanita yang berusia 18 hingga 27 tahun ke dalam pasukan tentera.

Junta sebelum ini memaklumkan sedang mengambil langkah untuk melengkapkan peralatan senjata militia pro-tentera ketika memerangi lawan di seluruh negara.

“Sistem perkhidmatan ketenteraan negara yang membabitkan semua orang adalah penting berikutan situasi yang sedang berlaku di negara kita,” kata jurucakap Junta, Zaw Min Tun dalam mesej audio yang dikeluarkan oleh pasukan maklumat.

Undang-undang itu juga menetapkan ketika keadaan darurat, tempoh perkhidmatan boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan mereka yang mengabaikan arahan untuk berkhidmat boleh dipenjarakan.

Junta Myanmar mengumumkan keadaan darurat selepas merampas kuasa dan minggu lalu melanjutkan tempoh itu selama enam bulan lagi.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, lebih 4,500 orang terbunuh dan 26,000 lagi ditangkap dalam tindakan tegas tentera terhadap perbezaan pendapat di Myanmar sepanjang tempoh darurat. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×