DUN Lukut perlukan Balai Bomba

DUN Lukut perlukan Balai Bomba

KEPADATAN penduduk di kawasan DUN Lukut, Negeri Sembilan memerlukan sebuah balai bomba dibina di kawasan tersebut.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kemudahan sebuah balai bomba dan penyelamat perlu dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut di sini bagi mempercepat tempoh bertindak anggota keselamatan itu sekiranya berlakunya kejadian kebakaran dan kecemasan di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, pembinaan balai bomba berkenaan itu juga mengambil kira kawasan DUN Lukut yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi selain bilangan taman perumahan yang paling banyak di daerah ini.

“Sejak saya menjadi ADUN Lukut, memang saya ada memohon untuk sebuah balai bomba dan penyelamat kategori C didirikan di sini.

“Kawasan perumahan di Lukut memang banyak berbanding DUN lain di Port Dickson, ini salah satu asasnya selain mengambil kira kepadatan penduduk yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ken Hwa dalam pada itu berkata, walaupun tempoh masa bertindak dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson ke Lukut adalah 10 minit namun di DUN berkenaan mempunyai sebuah stesen janakuasa elektrik di Jimah.

“Saya difahamkan untuk sampai ke Lukut, bomba boleh capai 10 minit, namun untuk sampai ke stesen Jimah ia terletak lebih jauh, lebih dari 15 minit, memang mustahak dan ada keperluan untuk didirikan sebuah balai bomba.

“Sudah ada tapak cadangan untuk didirikan balai bomba di Lukut ini, saya juga sudah membawa perkara ini untuk pengetahuan kementerian terbabit dan kini hanya perlu kelulusan kementerian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×