GUA MUSANG: Lebih 2,000 penduduk di Taman Wangi di sini resah apabila air Sungai Ketil berhampiran kawasan rekreasi Rimba Wangi berubah menjadi hitam setiap kali hujung minggu atau cuti umum.
Dakwa penduduk, masalah tersebut dikesan berlaku lebih tiga tahun lalu sehingga menyebabkan ribuan bangkai ikan ditemukan terapung pada tahun 2021 dipercayai berpunca daripada sisa buangan dari kilang yang terletak 1.5 kilometer dari kawasan sungai itu.
Seorang penduduk, Wan Jasmy Wan Abdullah, 42, berkata, perubahan warna itu mula dikesan berlaku pada Jumaat lalu.
“Pagi semalam air nampak teruk dan hitam. Bagaimanapun, waktu petang air sudah nampak bersih kerana aliran air Sungai Ketil di kawasan ini yang deras.
“Kami tidak tahu sisa buangan apa yang dibuang tetapi pastinya kualiti air kerap bertukar hitam dan penduduk juga pernah terjumpa banyak ikan mati,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Wan Jasmy yang tinggal di kawasan ini hampir 40 tahun lalu memberitahu, situasi itu membuatkan penduduk mulai risau kerana sungai itu merupakan sumber utama penduduk di sekitar Bandar Gua Musang.
Katanya, penduduk mahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) segera turun padang dan menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.
“Biarpun air sungai tercemar, namun masih ramai penduduk luar yang tidak tahu dan mereka datang mandi-manda serta berkelah bersama keluarga,” ujarnya.
Khairul Ezwan Wahet, 47, berkata, dia kecewa apabila masalah tersebut masih berlarutan walaupun penduduk sudah membuat laporan kepada wakil rakyat, JAS selain menularkan isu tersebut di laman sosial.
Katannya, hal ini kerana kawasan rekreasi Rimba Wangi yang berada di bawah seliaan Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Wangi menjadi kawasan tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera termasuk mengkaji sampel air kerana pencemaran itu memberikan kesan tidak baik kepada penduduk.
Katanya, beliau pernah membawa masalah berkenaan kepada pihak JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuklah serbuan ke kilang yang disyaki terlibat.
“Orang ramai terutamanya pemancing yang ada maklumat sila tampil menyalurkan maklumat berserta gambar atau video jika mereka mengetahui kegiatan pencemaran yang dilakukan di kawasan sungai itu,” ujarnya. – UTUSAN










