KOTA TINGGI: Seorang lekaki warga Bangladesh ditahan selepas tular rakaman kereta Nissan Almera dipandu secara melawan arus di Kilometer 26.5 Jalan Johor Bahru-Mersing semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, lelaki berusia 43 tahun itu memaklumkan tindakan membawa kenderaan secara songsang itu adalah kerana tiada lesen.
“Tular kejadian memandu secara berbahaya kira-kira pukul 2.30 petang di mana Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kota Tinggi telah menerima video tular berdurasi 50 saat itu.
“Video berkenaan melibatkan sebuah Nissan Almera berwarna putih yang memaparkan dipandu secara melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Pemandu kereta warganegara Bangladesh berusia 43 tahun itu telah dikesan dan ditangkap pada pukul 3.15 petang di kawasan hentian bas Kota Tinggi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, tindakan saringan awal ujian air kencing ke atas lelaki berkenaan juga telah diambil dan dikesan kes negatif dadah.
Tambahnya, hasil semakan ke atas rekod kenderaan juga didapati tiada rekod jenayah dilaporkan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.
“Polis IPD Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya,” katanya. – UTUSAN











