KUANTAN: Mayat lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas di dasar lubuk kira-kira tujuh meter di bahagian hilir Air Terjun Sungai Bekelah di Gambang di sini kira-kira pukul 12.54 tengah hari tadi.
Mangsa, Harun Mahmud, 20, berasal dari Kampung Baru Gambang di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama tujuh rakannya berkunjung ke pusat rekreasi Hutan Lipur Berkelah untuk mandi-manda.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa bersama enam rakannya pergi ke bahagian hilir Air Terjun Bekelah kerana ingin mandi di kawasan agak luas.
“Semasa sedang mandi, mangsa bersama dua orang rakannya pergi ke kawasan yang lebih dalam dan menyebabkan ketiga-tiga mereka telah hanyut di bawa arus.
“Dua rakan mangsa yang hampir lemas itu sempat berpaut pada dahan kayu di tebing sungai manakala mangsa pula didapati hilang.
“Rakan-rakan mangsa yang lain tidak dapat berbuat apa disebabkan kejadian berlaku sangat pantas dan dalam masa sama keadaan dasar kolam juga sangat dalam,” katanya di sini hari ini.
Siasatan juga mendapati mangsa yang lemas itu merupakan pemegang kad OKU dengan kategori ketidakupayaan (pelbagai).
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Azahari berkata, kawasan kejadian merupakan antara lokasi yang sering dikunjungi untuk aktiviti berkelah dan mandi manda.
Katanya, berdasarkan maklumat diperolehi, kawasan itu dikawal selia oleh Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) JKZ Gelugur.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang hampir lemas turut dibawa ke hospital bagi tujuan rawatan lanjut. Operasi mencari dan mengesan mangsa lemas ditamatkan pada pukul 1.30 petang tadi,” katanya. – UTUSAN










