Hassan tidak gentar digantung, dipecat parti

Hassan tidak gentar digantung, dipecat parti

HASSAN (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada 30 keluarga B40 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Tokong Kim Ying, Plentong, Pasir Gudang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan beliau tidak akan tunduk atau berdiam diri walaupun berdepan tindakan gantung atau dipecat oleh partinya.

Menurutnya, beliau akan terus bersuara sekiranya terdapat tindakan yang tidak wajar dilakukan kerajaan kerana dirinya tidak mempunyai sebarang kepentingan atau jawatan di dalam kerajaan atau PKR.

“Saya hendak jaga apa sangat, hendak buang, buanglah, hendak pecat, pecatlah. Saya tukar baju ahli Parlimen pakai baju peguam pergi mahkamah.

“Saya tidak gentar digantung atau dipecat, bukan angkuh tetapi kalau disingkirkan daripada parti tidak rugi apa pun. Patah tumbuh hilang berganti.

“Saya serah sahaja, apa pilihan yang saya ada, saya sudah tua, takkan hendak setuju atau tunduk sahaja walaupun tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis sambutan Tahun Baru Cina di Tokong Kim Ying, Plentong, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR dilaporkan berkata, pihaknya belum membuat keputusan untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Hassan susulan kelantangan beliau dalam menyuarakan pelbagai isu ketika ini.

Tambah Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, beliau percaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami perkara-perkara yang disuarakan beliau selama ini.

“PKR adalah parti politik berteraskan perjuangan reformasi dan perkara ini perlu diteruskan, saya percaya agenda tersebut akan diteruskan selagi Anwar menjadi Presiden parti.

“Kalau orang lain jadi Presiden PKR saya tidak berani cakaplah bagaimana tetapi teguran saya itu Anwar faham maksud saya. Kita tidak mahu Anwar dikelilingi pegawai dia yang ‘yes man’ dan sokong sahaja.

“Ini sokongan yang membawa rebah. Kita percaya Anwar tidak boleh dikelilingi oleh mereka yang hanya angguk-angguk,” katanya.

Tambah Hassan, walaupun beliau membuat teguran termasuk dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, hubungannya dengan Anwar tidak mempunyai masalah.

“Dia ada baca analisis yang saya tulis tentang isu pengampunan Najib dan Anwar kata analisis yang tepat. Hubungan saya dengan Anwar tidak terjejas dan sangat baik termasuk dia kerap bertanya khabar,” tambahnya lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN