BEIRUT: Tentera Israel melancarkan serangan menyasarkan sebuah bangunan kediaman di barat ibu negara Syria pada awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang berpangkalan di Britain.
Media kerajaan melaporkan pasukan pertahanan udara Syria bertindak balas terhadap serangan udara Israel.
Sejak perang saudara Syria meletus pada tahun 2011, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas negara itu di utara terutamanya menyasarkan kumpulan disokong Iran termasuk kedudukan pejuang Hezbollah dan tentera Syria.
Serangan semakin meningkat sejak perang Israel dengan Hamas tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria mengesahkan serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman di barat ibu kota Damsyik.
Menurut kumpulan pemerhati hak asasi itu, kedengaran bunyi letupan kuat termasuk dari kawasan Dimas di wilayah Damsyik.
Agensi berita SANAA memetik sumber ketahanan menyatakan tentera Israel melancarkan serangan udara dari arah Golan menyasarkan beberapa lokasi di kawasan luar bandar Damsyik kira-kira pukul 1.05 pagi (waktu tempatan).
Pasukan pertahanan udara bertindak balas dengan peluru berpandu dan berjaya menembak jatuh sebahagian besarnya.
Dilaporkan, serangan itu menyebabkan kerosakan dan kemusnahan material.
Jelas kumpulan pemantau hak asasi, serangan itu berlaku beberapa jam selepas kawasan berhampiran lapangan terbang tentera di barat Damsyik diserang peluru berpandu.
Malah, Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan mengesahkan dua dron menceroboh ruang udara Syria dari arah Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.
“Sistem pertahanan udara berjaya menembak jatuh dron di barat Damsyik,” jelas kenyataan itu. – AFP










