JELEBU: Mana-mana pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini diminta untuk tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kesangsian rakan kerjasama politik dalam gabungan tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kenyataan-kenyataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati kaum lain hanya akan merosakkan imej Kerajaan Perpaduan di bawah di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keadaan politik negara sudah baik dan stabil sama ada di peringkat negeri atau pusat, seperti di Negeri Sembilan yang dilihat ada persefahaman yang baik. Kenapa mahu mencetuskan beberapa perkara rasa tidak puas hati kaum lain dalam negara kita.
“Keduanya, kenapa mahu mencetuskan perkara yang boleh mendatangkan kesangsian rakan politik kita. Soal sensitif dalam Perlembagaan dan sensitif orang Melayu tidak harus dijadikan bahan berpanjangan dalam mengeluarkan kenyataan.
“Jadi saya harap kesemua pemimpin ini perlu berhati- hati daripada bercakap perkara yang boleh menyakiti kaum lain,” katanya ditemui pada Program Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Baru Cina Pertang, di sini, malam tadi.
Sementara itu dalam perkara berlainan, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang memberitahu, kerja-kerja awalan bagi projek pembinaan baharu Hospital Jelebu sudah dimulakan kerajaan sebaik ia diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada bulan Februari tahun lalu.
“Kerja awalan itu termasuk mengenal pasti lokasi sesuai dan perkara berkaitan dan daerah ini wajar mendapat kemudahan hospital baharu memandangkan hospital yang beroperasi ketika ini telah dibina pada zaman penjajahan British,” katanya.-UTUSAN.










