SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang ditahan selepas nekad memandu sebuah bas persiaran tanpa lesen di Plaza Tol Kemuning di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan membawa 11 penumpang.
Tindakan nekad itu bagaimanapun terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Tahun Baru Cina di kawasan berkenaan, kira-kira pukul 9.40 malam.
Lelaki itu berkata, dia terpaksa memandu bas berkenaan selepas dipujuk abangnya kerana ketiadaan pemandu yang bercuti sempena Tahun Baru Cina.
“Saya memang tiada lesen namun terpaksa kerana semua penumpang mahu menaiki penerbangan ke luar negara pukul 12 tengah malam ini.
“Bas yang dipandu milik syarikat abang dan saya tidak sangka pula ada operasi dijalankan di plaza tol ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan berkenaan boleh membahayakan penumpang. Ini kerana mereka tiada sebarang perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan.
“Saman akan dikeluarkan kepada pemandu dan syarikat itu selain perlu mencari pemandu ganti lain,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun turut dikesan menunggang motosikal Yamaha Y15 tanpa lesen sejak dua bulan lalu.
“Saya mahu menemani kakak angkat membeli barang persiapan majlis perkahwinannya Ahad ini,” katanya.
Namun, hasil pemeriksaan mendapati remaja itu sudah dikenakan saman oleh polis pada awal bulan ini. – UTUSAN











