SHAH ALAM: Seorang bekas pensyarah universiti antara dua individu yang menjadi mangsa sindiket penipuan atas talian atau scammer melibatkan kerugian berjumlah RM6.47 juta pada bulan ini.
Wanita warga emas berusia 61 tahun itu terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan semua wang dan menggadai barang kemas sehingga kerugian RM1.43 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kelmarin menerima laporan dibuat mangsa di Balai Polis Bandar Baru Bangi mengenai penipuan tersebut.
Jelas beliau, suspek menghubungi wanita itu menerusi telefon dengan menyamar sebagai Pegawai National Scam Response Centre (NSRC).
“Suspek memberitahu mangsa kononnya menjalankan aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.
“Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu dan diarah meletakkan dua kad banknya di tepi jalan sebelum menyedari 262 transaksi pengeluaran berjumlah RM1.43 juta dibuat dari akaun miliknya,” katanya petang ini.
Dalam pada itu, kata Hussein, kes kedua pula menimpa seorang akauntan berusia 55 tahun yang kerugian RM5.04 juta akibat ditipu sindiket pelaburan mata wang kripto awal bulan ini.
“Lelaki itu dikatakan berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang berminat kemudian memindahkan wang ke dalam akaun e-Wallet menerusi 143 kali transaksi sebelum mendapati akaun pelaburan itu gagal diakses dan suspek menghilangkan diri,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru, Hussien menasihatkan orang ramai agar tidak melayan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.
“Polis dan jabatan kerajaan tidak menjalankan siasatan yang melibatkan hal perbankan orang awam secara atas talian kerana ia hak milik peribadi.
“Bagi kes pelaburan kripto, polis meminta orang ramai tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan, saham atau apa-apa yang ditawarkan melalui media sosial yang kononnya boleh memberi pulangan besar masa singkat,” katanya. – UTUSAN











