KOTA BHARU: Taktik seorang lelaki mengubahusai tangki lori miliknya untuk tujuan penyeludupan terbongkar selepas ditahan sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dalam serbuan di Wakaf Bharu, di sini semalam.
Suspek berusia 30-an itu diberkas pada pukul 1.30 petang semasa sedang leka mengisi minyak ke dalam tangki lori tiga tan jenis Daihatsu yang telah diubahsuai.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil soal siasat yang dijalankan suspek mengaku telah membuat pengisian berulang bahan api itu di kawasan Tumpat.
“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Terdahulu, pada pukul 11 pagi kita berjaya menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang telah diubahsuai tangki.
“Suspek berjaya ditahan di Kampung Tujuh selepas anggota bertugas mengekorinya sejauh lima kilometer. Pada masa sama, sebanyak 58 liter minyak petrol telah berjaya dirampas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan akan terus mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan serta Ops Tiris dan Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan di negeri ini dari masa ke semasa.
“Tindakan tegas diambil bagi membendung kegiatan aktiviti tidak bermoral ini supaya pengguna dapat menikmati sepenuhnya subsidi kerajaan.
“Seterusnya suspek akan dikenakan denda yang tinggi serta dituduh di mahkamah selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN









