SEPANG: Seorang bakal pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinannya minggu depan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang warga emas, 30 Januari lalu.
Tertuduh, Mohammad Zakaria Mohd Razali, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan cedera parah kepada seorang warga emas berusia 73 tahun di Jalan PP 2/5, Taman Putra Prima di sini, di antara pukul 9 hingga 9.20 pagi, pada 30 Januari lalu.
Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun dan denda.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000, selain dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam, Fazilawati Hussin yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit hati dan darah tinggi.
Menurutnya, tertuduh yang bekerja sendiri dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan turut menanggung dua orang adik yang masing-masing masih menuntut di universiti dan sekolah menengah, bakal melangsungkan perkahwinan 17 Februari ini di Kelantan.
“Dia perlu berada di kampung secepat mungkin untuk membuat persiapan bagi majlis yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Bukhori membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media pada 6 Februari melaporkan, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul seorang warga emas dalam kejadian kes buli jalan raya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang.
Menurutnya, suspek yang bekerja sendiri mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB). – UTUSAN










