Strategi atasi 14,506 pelajar tercicir – Ahmad Zahid

Strategi atasi 14,506 pelajar tercicir – Ahmad Zahid

AHAMD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Nancy Shukri (kiri) dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah me­rangka beberapa pendekatan bagi menangani isu sejumlah 14,506 atau 0.83 peratus pelajar sekolah menengah yang direkodkan tercicir daripada arus pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, faktor utama keciciran mereka ialah hilangnya minat ke sekolah, ingin menampung keper­luan keluarga dan masalah kemiskinan keluarga.

Menurutnya, Kementerian Pen­didikan diarah melakukan pemantauan berkala terhadap majikan yang mengambil pekerja masih bersekolah bagi memastikan mereka mematuhi syarat dan waktu bekerja ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini penting bagi memastikan isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini dapat dikawal,” katanya menerusi kenyataan dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) yang pertama tahun ini di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, strategi lain termasuk membantu keluarga yang kesempitan kewangan dan memberi bantuan kewangan mencukupi kepada murid mengikut keperluan dan lokaliti tempat tinggal.

Menurutnya, maklumat tentang kepentingan pendidikan sehingga memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan disebar luas kepada kanak-kanak dan murid yang tidak bersekolah atau keciciran melalui media cetak, media elektronik serta media sosial.

ADS:D

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju bagi melaksanakan program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV dan AIDS.

“Ini kerana 74 peratus kes HIV yang dilaporkan membabitkan golongan muda berusia 20 hingga 39 tahun,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini semalam, Ahmad Zahid berkata, hanya 33.4 peratus atau 8,173 orang daripada 24,471 pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi melakukan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengarahkan supaya beberapa jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan kesemua 62 program yang telah dibentuk dan menjadi hala tuju KKDW.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa tersebut bukan sahaja dapat memacu kepada tercapainya matlamat dan objektif program, malah ia akan dapat memastikan penganjurannya dilaksanakan dengan penuh etika, beramanah dan bertanggungjawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN