Tiada motif untuk bunuh, Nazrin mati akibat letupan

Tiada motif untuk bunuh, Nazrin mati akibat letupan

Samirah Muzaffar hadir bagi mendengar keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya kerana bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki berada di dalam rumah yang sama dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan sebelum ditemukan meninggal dunia, ia tidak cukup untuk mengaitkan mereka dengan kematian tersebut.

Selain itu, tiada motif yang boleh menunjukkan bahawa Samirah dan dua remaja lelaki yang kini berusia 19 dan 21 tahun mempunyai niat untuk membunuh lelaki itu.

“Kami telah meneliti keseluruhan bukti bagi mencari motif tetapi tidak ada. Dakwaan berhubung kewangan, dakwaan Nazrin berhasrat untuk menceraikan Samirah dan kononnya hubungan tidak baik antara Nazrin dengan dua remaja lelaki terbabit bagi menunjukkan terdapatnya motif juga tidak jelas. Malah pendakwaan sendiri mengakui bahawa elemen motif adalah tidak jelas dan kabur.

“Bagi mahkamah untuk bergantung kepada bukti mengikut keadaan (dalam membuat keputusan), ia mestilah bersandarkan kepada bukti yang jelas dan kredibel dan bukannya bukti yang kabur atau hampir tidak wujud.

“Berbeza dengan dakwaan (berhubung motif) yang dikemukakan oleh pendakwaan, (kami dapati) terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa hubungan Nazrin dan Samirah serta kedua-dua remaja itu dalam keadaan yang baik. Malah, beberapa sistem pesanan ringkas di antara Nazrin dan Samirah beberapa hari sebelum kejadian itu, jelas menunjukkan hubungan intim pasangan suami isteri,” kata Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Selain itu, berhubung elemen `niat bersama’, mahkamah turut menyatakan bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa Samirah, dua remaja lelaki itu dan pembantu rumah, Eka Wahyu Lestari memang berniat untuk membunuh Nazrin.

“Pendakwaan mendakwa bahawa Eka telah dihantar pulang ke negara asalnya (Indonesia) bagi menyembunyikan pembunuhan tersebut damun berdasarkan carian oleh pihak pembelaan di Facebook, Eka sebenarnya di Kuching, Sarawak dan bekerja di sebuah kedai kopi.

“Soal balas terhadap pegawai penyiasat mendedahkan bahawa pihak polis tidak pernah membuat sebarang tindakan untuk membawa wanita itu pulang (ke Semenanjung). Ini adalah satu kepincangan besar bagi kes pendakwaan,” kata Hakim Vazeer Alam.

Panel terbabit turut mengatakan, sekiranya benar telah berlaku pembunuhan, adalah lebih logik untuk membakar mayat tersebut di atas katil.

“Kami tidak menjumpai sebarang alasan munasabah untuk mengalihkan mayat tersebut daripada atas katil ke atas lantai sekiranya niat untuk berbuat demikian adalah untuk menghapuskan bukti melalui pembakaran dengan sengaja,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penghakiman ringkas sebulat suara panel tiga hakim sebelum menolak rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja tersebut daripada pertuduhan membunuh Nazrin di akhir kes pendakwaan.

Turut bersidang dalam panel tersebut ialah Hakim-Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Selain itu, panel terbabit secara tidak langsung mengesahkan bahawa Nazrin meninggal dunia akibat letupan.

Walaupun keterangan saksi-saksi tidak menunjukkan apakah objek atau punca letupan tersebut, namun terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan letupan berlaku.

“Hakim bicara menyatakan bahawa tidak sebarang letupan dan pembakaran dilakukan dengan sengaja menggunakan petrol. Bagaimanapun, Hakim bicara gagal untuk mempertimbangkan keterangan oleh pakar patologi, Dr. Siew Shue Feng yang merupakan individu pertama memeriksa mayat dan mengenalpasti kecederaan akibat letupan di bahagian leher dan kepala mangsa.

“Walaupun saksi itu (Dr. Siew) kemudian telah dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa tidak berlaku letupan sebaliknya berlaku pembakaran dengan sengaja ekoran wujud elemen petrol di bilik tidur berkenaan, saksi masih lagi kekal dengan dapatannya bahawa mangsa meninggal dunia ekoran ‘letupan dan kecederaan tembus oleh objek tumpul (blunt penetrating injuries).

“Sekiranya tiada letupan, bagaimana hendak menjelaskan mengenai kecederaan akibat letupan yang dinyatakan dalam laporan bedah siasat saksi tersebut,”kata Hakim Vazeer Alam.

Terdahulu, panel terbabit menyatakan, pakar patologi tersebut telah menyenaraikan 16 kecederaan menembusi badan mangsa dan laporan bedah siasat menyatakan terdapat ‘beberapa kecederaan cetek yang menembusi dalam pelbagai saiz ditemukan pada muka si mati, leher, dada, bahu kiri, bahagian belakang tangan kiri yang selari dengan kecederaan akibat serpihan ekoran letupan.’

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam, melepas dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan antaranya pihak pendakwaan gagal prima facie kes dan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.

Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dan sepatutnya dituduh bersama, namun wanita masih bebas.

Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×