TUMPAT: Sepasang suami isteri lega dapat membantu seekor kucing ‘jalanan’ menjalani pembedahan selepas tertelan mata kail pancing walaupun terpaksa mengumpul wang berjumlah RM885 untuk rawatan tersebut.
Sumbangan itu berjaya di kumpul menerusi bantuan seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Amri Info Semasa Tumpat (Amri IST) selepas membuat hantaran berkait dengan perkara tersebut di laman sosial Facebook malam tadi.
Pasangan yang mesra disapa Pok Su Tumpat, 43, dan Nor, 32, mengakui hati mereka menjadi tidak keruan selepas melihat mata kail itu berada di dalam perut di kucing betina tersebut hasil keputusan X-ray.
Pok Su Tumpat berkata, sejurus perbelanjaan itu mencukupi dia dan isteri terus membawa kucing tersebut untuk menjalani di sebuah klinik haiwan di Kota Bharu.
“Alhamdulillah, doktor telah memasukan air garam ke dalam tubuh kucing tersebut selepas ia kelihatan agak lemah. Insya-Allah, jika kucing itu bertenaga, pembedahan itu akan dilakukan pada petang ini.
“Doktor ada memberitahu saya dan isteri, pembedahan ini mempunyai risiko melihat kepada keadaan kucing tersebut. Bagaimanapun, kami berdoa semoga kucing itu selamat menjalani pembedahan dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pok Su Tumpat memberitahu, dia dan isteri merakamkan ucapan terima kasih kepada Amri IST selaku pemudaha cara serta semua penyumbang yang sudi membantu kucing jalanan itu menjalani pembedahan.
Katanya, sebelum itu dia dimaklumkan oleh rakan yang memberitahu kucing tersebut telah terkena mata kail pancing pada bahagian kaki.
“Mengikut maklumat rakan, kucing itu telah terkena mata kail miliknya dan kejadian itu berlaku sejak seminggu lalu di kawasan kuala dekat Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor.
“Pada Selasa, saya telah berjumpa dengan kucing tersebut dan mendapati tali tangsi terlekat pada mulutnya. Saya kemudian bawa balik haiwan ke rumah untuk membantu dan hasil pemerhatian mendapati berkemungkinan besar kucing itu sudah tertelan mata kail,” ujarnya.
Pok Su berkata, dia terus membawa kucing tersebut ke klinik haiwan berdekatan untuk membuat pemeriksaan dan mendapati mata kail tersebut sudah berada di dalam perut si bulus.
“Saya kemudian memberitahu rakan berkait dengan kos rawatan itu. Dia mohon maaf tidak mampu untuk membayarnya walaupun saya sedia berkongsi jumlah tersebut.
“Melihat keadaan kucing yang makin lemah, saya dan isteri sepakat mohon bantuan dari Amri IST. Jadi saya harap kepada kaki pancing supaya berhati-hati selepas ini supaya kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.-UTUSAN











