Sindiket tipu pekerjaan sasar warga UK tumpas

Sindiket tipu pekerjaan sasar warga UK tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud antarabangsa yang berpangkalan di ibu negara tumpas apabila lapan individu diberkas selepas pusat panggilan mereka di Taman Wahyu, Jinjang di sini diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

Penahanan mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 28 tahun dibuat di dua unit kondominium.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan penipuan tawaran kerja tidak wujud yang menyasarkan mangsa-mangsa di United Kingdom (UK).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, modus operandi mereka adalah dengan menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan iklan pekerjaan dalam talian kepada rakyat negara itu.

Ujar beliau, sindiket ini menggunakan nombor telefon UK untuk menghantar tawaran pekerjaan yang dibuat.

“Setelah mangsa membalas dan menyatakan berminat dengan tawaran kerja, mangsa diminta  mendaftar akaun di pautan Globesailor V88.

“Dalam pautan tersebut, mangsa diarahkan menyelesaikan tugasan seperti menekan tanda ‘Suka’ pada iklan-iklan bagi pakej percutian dengan pembayaran deposit menggunakan mata wang kripto Stablecoin Tether (USDT),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa ditawarkan komisen sebanyak 0.5 peratus sehingga lima peratus bagi setiap tugasan yang berjaya.

“Sindiket kemudiannya memberikan resit yang telah diubah suai bagi menyakinkan mangsa bahawa pembayaran komisen telah dibuat,” ujarnya

Tambah beliau, sindiket yang aktif sejak awal tahun ini berjaya memperoleh RM14,000 atau 3,000 USDT dalam tempoh anggaran sehari hasil penipuan dilakukan.

“Kita juga masih menjalankan siasatan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di UK bagi mengenal pasti mangsa-mangsa terlibat.

“Risikan lanjut juga masih dibuat bagi mengenal pasti pusat operasi lain yang mempunyai rangkaian dengan sindiket ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak sembilan set komputer dan telefon bimbit (19); router serta modem (masing-masing 2); rangkai anak kunci dan satu kad akses ke unit kondominium tersebut dirampas.

“Kesemua suspek kita reman selama empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×