JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini menggempur 19 kawasan hotspot dan menahan seramai 50 warga asing termasuk dua kanak-kanak di empat daerah, semalam.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 27 warga Myanmar, Indonesia (8), Bangladesh (7), Nepal (4), India (2) dan masing-masing seorang warga Pakistan dan Vietnam berusia antara tiga hingga 52 tahun.
Mereka dipercayai bekerja dan tinggal di negara ini tanpa sebarang pas atau permit yang sah serta tinggal lebih masa.
Katanya, tangkapan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Unit Penguatkuasa Cawangan Muar dan Batu Pahat di 63 premis di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Pontian.
“Tindakan diambil susulan aduan awam yang menyatakan terdapat beberapa warganegara asing yang tinggal dan bekerja tanpa permit yang sah di lokasi hotspot tersebut.
“Dalam operasi itu, seramai 266 warga asing serta tempatan telah diperiksa dan 50 daripada mereka telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah, manakala sebahagian di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Sebanyak enam notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya sambil menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan lagi penguatkuasaan bagi membanteras isu kebanjiran pekerja asing tanpa izin (PATI) yang dilihat semakin galak menguasai sesuatu kawasan. – UTUSAN











