Kuih angku, chang buatan Nur Azreen digemari pelbagai kaum

Kuih angku, chang buatan Nur Azreen digemari pelbagai kaum

NUR Azreen Ku Abdullah menunjukkan kuih chang (kiri) dan kuih angku yang dijualnya dan mendapat sambutan di Karnival Tahun Baharu Cina Negeri Sembilan di N9 Sungei Ujong Walk, Seremban.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penyertaan buat pertama kali di Karnival Tahun Baharu Cina Negeri Sembilan yang diadakan di N9 Sungei Ujong Walk di sini membawa kegembiraan kepada peniaga kuih tradisional masyarakat Cina, Nur Azreen Ku Abdullah, 62.

Menurutnya, sejak mula berniaga di karnival tersebut pada 31 Januari lalu itu, kuih jualannya seperti kuih angku dan kuih chang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini pertama kali gerai jualan makanan yang diusahakan peniaga Islam termasuk dalam kalangan komuniti Cina Muslim di negeri ini menyertai karnival ini. Sambutan sangat baik terutama selepas terdapat video tular di TikTok mengenai penyertaan kami di sini.

“Ramai orang Melayu yang datang untuk mencuba sendiri kuih jualan saya, tidak kurang juga masyarakat Cina dan India. Paling mendapat sambutan pembeli adalah kuih angku yang berinti kacang merah dan kacang hijau serta kuih chang iaitu pulut yang mempunyai pelbagai bahan di dalamnya seperti ayam, kekacang dan juga telur asin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut ibu tunggal itu, ada pembeli yang datang dari Johor Bahru ke Seremban semata-mata mahu mencuba keenakan kuih chang yang dijual pada harga RM6 sebiji dan kuih angku yang dijual pada harga RM1 sebiji.

“Sebelum ini saya berniaga sarapan pagi dan turut mengambil tempahan membuat kuih tradisional Cina ini, tempahan banyak datang daripada persatuan-persatuan.

“Alhamdulillah ramai yang menggemari kuih yang saya buat ini terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu kerana susah untuk mereka mendapat kuih chang yang halal di negeri ini.

“Sedikit sebanyak penyertaan saya pada karnival ini berjaya juga memperkenalkan kuih tradisional masyarakat Cina kepada orang lain terutama semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya lagi.

Nur Azreen Ku dalam pada itu berkata, kemahiran dan bakat membuat kuih tersebut diwarisi  dari keluarganya yang berketurunan Baba Nyonya dari Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×