BUKIT GANTANG: Seramai 10 orang dari tiga buah keluarga terpaksa tinggal sementara di Dewan Orang Ramai Matang di sini, setelah rumah masing-masing dipotong bekalan elektrik dan air.
Mereka yang terdiri daripada tiga beradik berpindah ke dewan tersebut pada Ahad lalu setelah bekalan elektrik ke rumah mereka dipotong pada pertengahan bulan lalu. Sebelum itu, bekalan air paip ke rumah mereka turut dipotong.
Jurucakap keluarga tiga beradik tersebut, Asmah Yahya, 69, berkata, bekalan air dan elektrik dipotong dipercayai ada kaitan dengan pembukaan sebuah tapak pelupusan sampah dan sisa pepejal tidak jauh dari rumah mereka.
“Bekalan air dan elektrik tiba-tiba dipotong selepas wujud tapak pelupusan sampah yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah kami kerana tapak rumahnya di atas tanah kerajaan.
“Walau pun berat hati tetapi pada Ahad lalu kami semua terpaksa keluar dari situ disebabkan ketiadaan air bersih ditambah pula rumah kami bekalan elektriknya dipotong tanpa sebarang sebab dan tiada notis yang diberikan,” katanya di sini semalam.
Menurut Asmah, setelah bekalan air dipotong, mereka membuat surat permohonan bagi mendapatkan bekalan air semula namun permohonan gagal kerana status tanah yang didiami adalah milik kerajaan.
Katanya, mereka terpaksa menggali tanah bagi mendapatkan sumber air untuk kegunaan harian.
“Namun air dari tanah tidak sesuai digunakan untuk minuman dan memasak. Airnya berbau busuk namun kami terpaksa menggunakannya untuk membasuh, mandi dan juga berwuduk kerana tiada pilihan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang melawat keluarga itu berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Penghulu Mukim Matang, Nasaruddin Mawi untuk mencari dua buah rumah sewa bagi menempatkan tiga buah keluarga itu.
Katanya, sewa rumah keluarga itu ditanggung Pusat Khidmat beliau.
“Saya juga akan berusaha mencari penempatan di kawasan rumah PPR untuk mereka sebagai penyelesaian kepada isu ini. Saya juga mencari jalan bagi mendapatkan rumah untuk ketiga-tiga keluarga ini,” katanya. – UTUSAN










