Wartawan trauma disamun dua lelaki - Utusan Malaysia

Wartawan trauma disamun dua lelaki

ERNALISA Othman trauma disamun dua lelaki di sebuah restoran di Taman Molek, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Insiden disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Taman Molek, di sini malam tadi menjadi detik hitam yang sukar dilupakan bagi wartawan Malaysia Gazette, Ernalisa Othman.

Menurut Ernalisa, 38, kejadian itu berlaku pada pukul 9.45 malam ketika dia baru duduk di bahagian luar restoran tersebut sebelum ternampak dua lelaki menaiki motosikal di hadapan premis berkenaan.

“Saya lihat tindak-tanduk mereka dalam keadaan mencurigakan, namun tidak sangka sesuatu yang buruk akan berlaku. Namun anggapan saya meleset apabila mereka yang memakai topi keledar dan pelitup muka berjalan ke arah saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka datang dari arah hadapan dan tidak semena-mena berdiri di sebelah saya. Saya yang baru hendak memulakan kerja menjadi kaku.

“Mereka kemudian merampas beg berisi telefon bimbit dan komputer riba, saya cuba menghalangnya tetapi seorang daripada mereka menghunuskan parang depan muka saya sambil berkata, ‘nak bagi ke tak’,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semasa dua penjenayah tersebut cuba melarikan beg dan komputer riba, telefon bimbit yang ada dalam beg itu terjatuh.

“Saya bingkas mengambil telefon bimbit tersebut dan  melarikan diri masuk dalam restoran, manakala dua lelaki berkenaan melarikan beg berisi komputer riba itu,” katanya.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu lega dan bersyukur kerana tidak dicederakan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada pukul 9.53 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu samun menggunakan senjata parang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×