SEREMBAN: Sebanyak 655 kes kejadian kebakaran terbuka direkodkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu di seluruh kawasan di negeri ini.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 30 peratus berbanding pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 460 kes.
Beliau menjelaskan, kes kebakaran terbuka ini melibatkan kebakaran kebun atau ladang, hutan, belukar dan lalang serta sampah.
“Faktor utama kejadian sudah tentu kurangnya kesedaran orang awam yang membuat pembakaran terbuka sewaktu cuaca panas, mereka buat pembakaran tetapi tidak mengawalnya, ia kemudian merebak dan kebakaran menjadi besar.
“Saya juga minta orang awam untuk salurkan maklumat jika terlihat berlakunya kebakaran terbuka, kami akan tetap pergi selepas menerima laporan walaupun ia kebakaran kecil sebelum ia merebak.
“Di Negeri Sembilan juga saya telah meminta unit motosikal untuk meningkatkan rondaan di kawasan hotspot kerap berlakunya kejadian kebakaran terbuka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang tahun lalu juga pihaknya terlibat dalam 1,739 kes kebakaran dan daripada jumlah itu sebanyak 396 kes melibatkan kebakaran bangunan dan isinya manakala 198 kes lagi kebakaran kenderaan.
“Pada tahun 2023, jumlah mangsa terkorban akibat kebakaran adalah seramai 13 orang manakala 64 orang cedera manakala 174 orang lain berjaya diselamatkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Abdul Khair memberitahu, sepanjang 2023 juga, pihaknya telah menerima sebanyak 6,151 panggilan kecemasan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,739 merupakan panggilan kebakaran manakala 4,312 adalah panggilan menyelamat dan sebanyak 68 panggilan tugas-tugas khas.
“Kami turut menerima sebanyak 31 panggilan palsu sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu 11 panggilan direkodkan melibatkan kawasan Seremban,” kata beliau sambil memberitahu berlaku peningkatan panggilan palsu iaitu berbanding 20 panggilan pada tahun 2020. – UTUSAN











