JERANTUT: Tarian Indung yang merupakan khazanah kesenian Melayu Pahang berusia kira-kira 400 tahun di Kampung Bantal, Ulu Tembing di sini berdepan risiko pupus sekiranya tidak ada usaha pihak tertentu menghidupkan semula warisan budaya tersebut.
Ketika ini hanya tinggal empat orang sahaja penggiatnya yang berusia lebih 70 tahun dan kerana faktor usia mereka pun ‘ingat-ingat dan lupa’ ketika diminta membuat persembahan dan menceritakan semula tradisi berkenaan.
Manifestasi tarian dan lagu Indung lebih kepada aktiviti pertanian (menanam padi), elemen bergotong-royong, hiburan, semangat dan menzahirkan nilai ukhuwah masyarakat sekampung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pewaris Tarian Indung di Kampung Bantal, Jariyah Mat Petah, 77, berkata, tarian dan nyanyian itu dilakukan oleh masyarakat Melayu Ulu Tembeling ketika menanam padi atau bahasa tempatan sebagai ‘buat padi’ serta kerja gotong-royong pengurusan tanaman itu di sawah.
“Ketika menanam padi dan membuat kerja lain di sawah, kebanyakan wanita akan menyanyi dan menggayakan badan (menari) menerusi rangkap pantun secara bergilir.
“Peneraju utama tarian dan nyanyian ini berada di tengah sawah dengan dikelilingi penyanyi (wanita) lain yang memegang kiut (sejenis peralatan tajam membersihkan rumput) sambil menghayun (kiut) mengikut rentak tarian dan lagu.
“Pada rangkap akhir, kami akan mencapai ‘kiut’ masing-masing daripada posisi membongkok sambil menjulang peralatan ini ke atas dan bersorak ketika setiap lagu yang dinyanyikan,” katanya di Kampung bantal di sini semalam.
Menurut Jariyah, terdapat 38 buah lagu yang dinyanyikan ketika dia aktif bergiat dengan tarian tersebut sejak usianya remaja, tetapi cuma mampu mengingati beberapa buah sahaja kerana tradisi itu sudah tidak dipraktikkan lagi lantaran tidak ada lagi kerja menanam padi di Ulu Tembeling mulai penghujung 1980-an.
Sementara itu, saudara Jariyah, Mahani Mat Petah, 68, berkata, ketika usia muda, dia bersama wanita di kampung itu sering bernyanyi dan menari Indung, tetapi sejak 40 tahun lalu, kesenian itu tidak lagi aktif.
Katanya, jika ada pun, hanya sekali-sekala membuat persembahan apabila terdapat badan penyiaran dan penuntut universiti datang membuat rakaman dokumentasi serta kajian di kampung tersebut.
“Saya cuma masih ingat lagu dalam tarian ini, iaitu lagu ‘Burung Belatuk’ mirip berzanji atau marhaban yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu di Ulu Tembeling suatu ketika dahulu,” katanya.
Ujarnya, seni kata kesemua lagu Tarian Indung dalam dialek atau kolokial Ulu Tembeling sukar difahami oleh orang luar seperti perkataan bersuruk (bersorak), bukut (bukit), bua (buai), remaja (maje) dan buduk-buduk (budak-budak). – UTUSAN











