PETALING JAYA: Faktor luaran terus mendorong kepada penyusutan ringgit yang diniagakan melepasi paras RM4.7 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 17 Januari lalu, menurut pakar ekonomi.
Semalam, ringgit mencapai paras terendah dalam tempoh lebih tiga bulan apabila didagangkan pada 4.7620 berbanding dolar AS pada sesi tengah hari.
Mata wang tempatan itu terus menyusut apabila ditutup pada 4.7655/7580 berbanding dolar daripada 4.7545/7595 kelmarin.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, punca penyusutan masih lagi berkenaan faktor luaran terutamanya jangkaan penurunan kadar faedah di AS.
“Pada Jumaat lalu, data pasaran buruh di AS menunjukkan peningkatan yang ketara dalam jumlah pekerjaan yang diwujudkan pada Januari lalu, iaitu sebanyak 353,000 berbanding jangkaan para penganalisis iaitu 187,000.
“Justeru, ini menunjukkan bahawa kemungkinan pihak Rizab Persekutuan (Fed) untuk menurunkan kadar faedah pada Mac semakin tipis.
“Situasi ini telah melonjakkan nilai dolar AS disebabkan kadar faedah mereka yang masih kekal tinggi iaitu 5.50 peratus berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, nilai ringgit masih bergantung kepada ekonomi dan geopolitik dunia.
Katanya, ringgit masih boleh kekal pada nilai semasa berbanding dengan mata wang asing terutamanya dengan dolar AS.
“Secara mudah, jika keadaan politik sekarang terus stabil dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu akan memberi kesan positif pada ringgit.
“Mungkin kita boleh nampak kesannya dalam masa dua hingga tiga bulan akan datang,” ujarnya.
Ketika diminta mengulas mengenai kadar OPR, beliau berkata, OPR biasanya akan turut naik jika Fed menaikkan kadar faedahnya.
“Tapi BNM telah membuat pengumuman baru-baru ini untuk tidak menaikkan OPR buat masa ini. Jadi, ini selari dengan pengumuman Fed pada minggu lepas,” jelasnya. – UTUSAN










