BANGKOK: Polis mendakwa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra atas tuduhan menghina keluarga diraja Thailand berhubung komen yang dibuatnya hampir sedekad lalu.
Namun menurut pegawai, masih belum jelas sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Prayuth Pecharakun memberitahu pemberita, polis memfailkan tuduhan yang lebih dikenali sebagai `lese majeste’ akhir bulan lalu terhadap Thaksin berhubung komen yang dibuatnya di Seoul pada 2015.
“Pendakwa raya akan menunggu polis menyelesaikan siasatan mereka sebelum memutuskan sama ada meneruskan kes terhadap Thaksin.
“Thaksin menafikan pertuduhan itu dan sudah menulis surat kepada peguam negara meminta layanan adil,” kata Prayuth.
Thailand mempunyai beberapa undang-undang fitnah diraja paling ketat di dunia yang melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarga terdekatnya dengan setiap pertuduhan membawa kemungkinan hukuman penjara 15 tahun.
Thaksin pulang ke Thailand selepas partinya, Pheu Thai kembali berkuasa dalam perjanjian kontroversi dengan parti pro-tentera.
Bekas pemimpin berusia 74 tahun itu pernah menjadi perdana menteri dua kali tetapi digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006.
Beliau kembali daripada pengasingan diri pada Ogos 2023 dan segera dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Thaksin segera dipindahkan ke hospital polis dan menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan.
Biarpun disukai jutaan penduduk kampung di Thailand kerana dasar populis pada awal tahun 2000-an, Thaksin sebaliknya tidak disukai pihak istana dan ketenteraan yang berusaha menghalang beliau bersama sekutunya daripada berkuasa sejak dua dekad lalu.-AFP











