Tahun ini genaplah 15 tahun saya menulis di akhbar Utusan Malaysia. Artikel pertama saya dalam akhbar disiarkan oleh akhbar ini. Ketika itu, pada 2009, saya menulis tentang rasuah.
Selepas 15 tahun, kita masih bercakap tentang rasuah. Sudah tentu rasuah tidak dapat dikurangkan pada tahap sifar kerana manusia itu sememangnya suka akan kekayaan, kemewahan dan kesenangan. Tetapi untuk mendapat segala kemewahan ia perlulah berasaskan ajaran Islam. Sebab itulah rasuah amat dilarang oleh agama Islam.
Namun, saban hari kita sering mendengar pelbagai kes tentang rasuah yang tidak berkesudahan, seolah sangat jauh untuk sampai ke garisan penamat bagi memastikan Malaysia bersih dari kekotoran yang merupakan musuh utama negara. Sebuah negara yang merupakan ‘syurga’ bagi warganegara asing mencari rezeki, tetapi dalam kalangan rakyat kita pula ada yang terjebak dalam rasuah.
Jika amati karya terpilih cendekiawan terkenal tanah air, Allahyarham Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Al- Atas dalam bukunya, Rasuah: Sifat, Sebab Dan Fungsi, kita akan memahami lebih lanjut tentang rasuah. Rasuah berlaku di mana-mana negara di dunia ini, hatta negara yang dikatakan menduduki ranking tertinggi Indeks Persepsi Rasuah pun tidak boleh mendabik dada dengan mengesahkan bahawa negara mereka tidak terlibat langsung dengan rasuah.
Dalam hal ini, tumpuan perlu pada asas untuk mengurangkan sebanyaknya kes-kes rasuah berbalik pada bagaimana setiap daripada kita menolak sepenuhnya rasuah. Lebih-lebih lagi, nilai ini perlu ditanamkan sejak kecil lagi. Asasnya tidak lain tidak bukan integriti dan etika.
Cukup senang untuk menyebut kedua-duanya, namun ramai yang tertiarap dan terlingkup kerana tidak mampu menahan godaan rasuah. Untuk menguatkan integriti dan etika seseorang anak kecil, ibu bapa, guru malah masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing. Inilah yang wajar menjadi fokus utama dalam pendidikan anak-anak kecil.
Bukan setakat mengejar kecemerlangan berapa A yang mereka dapat, kerana apalah gunanya seseorang itu yang sangat cemerlang dalam peperiksaan, namun apabila dewasa nanti mereka juga ‘cemerlang’ terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.
Tonggak di sini juga sudah tentulah kepimpinan yang menitikberatkan tentang penolakan terhadap rasuah. Kepimpinan di semua peringkat. Mereka yang diberikan amanah perlu mengetahui bahawa amanah itu bukanlah satu keistimewaan tetapi satu ‘bebanan’ yang akan dipersoalkan oleh Yang Maha Esa kelak. Tidak menghairankanlah terdapat kes-kes rasuah yang melibatkan konflik kepentingan kerana mereka ini lebih memikirkan ‘tembolok’ masing-masing hanya kerana terlalu mendambakan kemewahan yang sementara.
Natijahnya, mereka yang layak tidak memperoleh apa yang sepatutnya mereka dapat. Jadi, bagaimanakah mereka yang berkuasa ini dapat menyelesaikan masalah rakyat jika hanya lebih mementingkan diri sendiri?
PEMIMPIN INTEGRITI
Sebab itulah , dalam buku bertajuk Muhammad: 11 Kualiti Kepimpinan Yang Mengubah Dunia yang ditulis oleh Nabeel Al-Azami meletakkan integriti sebagai kualiti kepimpinan yang pertama bagi mengubah dunia. Dunia tidak akan aman selagi integriti tidak diamalkan oleh para pemimpin. Natijahnya, kita akan nampak dunia semakin bercelaru di semua peringkat.
Maka, untuk memperbaikinya bukan boleh setakat umpama memangkas ranting-ranting sepohon pokok yang rosak tetapi perlu bermula daripada akar tunjangnya. Pohon tersebut perlu dibajai dengan rapi supaya tumbuh subur sehingga dapat menghasilkan buah-buahan yang elok dimakan oleh manusia.
Begitu jugalah seseorang pemimpin, perlu dibajai dengan sifat integriti berasaskan amanah dan kejujuran. Pemimpin yang tidak berintegriti pastinya tidak akan mampu menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Hal ini mudah kerana seseorang pemimpin yang tidak berintegriti tidak boleh lari daripada sifat suka berbohong yang jauh berbeza dengan sifat kejujuran. Sejak dahulu lagi, kalau kita lihat sejarah manusia, begitu ramai pemimpin yang suka berbohong untuk merasionalkan niat jahat mereka.
Ambil contoh apa yang berlaku di negara-negara yang sekarang ini boleh dikatakan hancur tidak sebagaimana kemajuan yang mereka nikmati suatu ketika dahulu. Sudah lupakah kita dek kerana ingin merasionalkan serangan ke atas Iraq, maka kuasa besar dunia memberi alasan palsu yang akhirnya kebenaran terbukti selepas masyarakat dunia mengetahui apa yang berlaku hanyalah pembohongan semata-mata.
Namun, pembohongan bukan setakat di peringkat kepimpinan dunia, pembohongan juga boleh berlaku di peringkat kepimpinan bawahan. Maka, jika tiada kebenaran mana mungkin rasuah dapat diperangi habis-habisan?
Ingatlah, tokoh pemikir terkenal Allahyarham Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka, ada menyimpulkan dalam buku karangannya bertajuk, Bohong Di Dunia yang mengungkai bahawa semua kesalahan budi pekerti adalah kebohongan.
Justeru, amati betul-betul pantun Melayu yang jelas menyebut tentang kesan buruk bohong:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Lama-lama mencuri.-UTUSAN
Profesor Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).










