PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie mendedahkan punca utama mereka terlepas gelaran juara badminton Masters Thailand kelmarin adalah kegagalannya untuk melindungi rakan sepasukan, Toh Ee Wei.
Dalam perlawanan final yang berlangsung di Stadium Niminbutr, Bangkok itu, Ee Wei menjadi lubuk buat lawan apabila diasak hebat oleh gandingan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang juga pasangan No. 9 dunia.
Pasangan negara ini tewas dengan keputusan 12-21, 18-21, sekaligus berputih mata untuk mengulangi kejayaan yang pernah dilakar Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menjadi juara kejohanan ini pada 2018 dan 2019.
“Saya rasa perlu ambil tanggungjawab atas perkara tersebut kerana tidak melindungi rakan sepasukan seperti yang mereka (Dechapol-Sapsiree) lakukan. Sepatutnya saya lindung dia (Ee Wei) ketika bertahan,” jelas Tang Jie.
Biarpun tewas, kekalahan ini tidak menjejaskan kedudukan mereka dalam ranking ke Sukan Olimpik Paris apabila masih berada di tangga kesembilan.
Berakhirnya saingan di Thailand bermakna mereka mempunyai tempoh sebulan rehat memandangkan Tang Jie dan Ee Wei tidak terlibat dengan Kejohanan Berpasukan Asia serta Terbuka Jerman pada bulan ini.
“Bagi perlawanan hari ini (kelmarin), kita sudah berikan yang terbaik tetapi masih banyak kesilapan mudah yang dilakukan. Kita perlu belajar lagi bagaimana mahu berdepan situasi mata penting kerana itu kelebihan yang mereka ada.
“Tetap ada perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini. Selain mata penting, kami juga perlu belajar bagaimana untuk buat keputusan lebih baik dalam perlawanan,” kata Ee Wei. – UTUSAN










