MANILA: Kerajaan Filipina menegaskan pihaknya bersedia menggunakan `kekerasan’ terhadap sebarang cubaan untuk memecah belahkan negara itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai keselamatan selepas bekas Presiden Rodrigo Duterte baru-baru ini mengancam untuk memisahkan beberapa pulau di selatan dari seluruh kepulauan berkenaan.
Duterte menuntut kemerdekaan Mindanao dari Filipina ketika pakatannya dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr berpecah ekoran perselisihan faham mengenai usaha untuk meminda Perlembagaan.
Marcos Jr menyifatkan langkah meminda Perlembagaan 1987 bertujuan untuk memudahkan pelaburan asing.
Namun, Duterte pula mendakwa Marcos Jr menggunakan perubahan pindaan Perlembagaan untuk kekal memerintah negara itu.
Penasihat keselamatan Filipina, Eduardo Ano menerusi kenyataan memaklumkan sebarang percubaan untuk memisahkan negara akan dibalas oleh kerajaan dengan kekerasan.
Kenyataan Ano merujuk kepada `gesaan memisahkan Mindanao’ tanpa menamakan Duterte secara khusus.
“Kerajaan tidak akan teragak-agak menggunakan kekerasan bagi menghentikan mana-mana dan semua cubaan untuk memecah belahkan negara ini,” katanya.
Menurut Ano, tuntutan kemerdekaan Mindanao boleh memberi kesan buruk terhadap perjanjian damai kerajaan yang dimeterai dengan kumpulan pemisah.
Mindanao dilanda konflik dan keganasan selama beberapa dekad ketika kerajaan berusaha memerangi kumpulan pejuang yang menjejaskan pelaburan negara.
Pada 2014, kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina yang antara lain bersetuju berundur sebagai pertukaran untuk penubuhan Bangsamoro yang ditadbir sendiri.
Jumaat lalu, Ketua Menteri Bangsamoro, Ahod Ebrahim berkata, beliau tetap komited dengan perjanjian damai itu.
Penasihat proses damai kerajaan, Carlito Galvez Jr pula menggesa rakyat Filipina menolak sebarang desakan untuk menggugat kestabilan negara.
Sabtu lalu, ketua tentera Filipina, Romeo Brawner meminta pasukan askar untuk kekal bersatu dan setia kepada Perlembagaan dan perintah. – REUTERS











