ISU diskriminasi gender sering menjadi penghalang untuk wanita diangkat sebagai pemimpin.
Situasi ini ada kalanya menyebabkan bakat dan potensi kaum hawa tenggelam atau pudar gara-gara stigma yang masih wujud.
Bagi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang baharu, Nur Hasya Harun, isu kepemimpinan wanita tidak seharusnya terus diperlekehkan dalam masyarakat.
Tegasnya, pemimpin berkualiti mencakupi pelbagai aspek dan tidak hanya terhad kepada nilai jantina semata-mata.
“Sebagai Presiden MPP wanita pertama Unisza, saya sedar amanah dan kepercayaan yang diberikan amat besar untuk menerajui seramai 12,161 pelajar di institusi ini.
“Saya yakin pelantikan ini mampu membuka mata semua pihak di samping memberikan inspirasi kepada pelajar untuk aktif dan percaya terhadap kebolehan serta bakat kepemimpinan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nur Hasya, 25, merupakan Presiden MPP Unisza ke-16 bagi sesi 2023/2024 dan satu-satunya wanita dilantik ke jawatan tersebut.
Pelajar Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi itu berharap pelantikannya dapat mengangkat wanita ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mewujudkan ekosistem kepemimpinan wanita yang mantap.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perjuangan membawa suara dan hak kebajikan pelajar wanita di dalam universiti turut menjadi keutamaannya.
Ia selaras agenda pembangunan insaniah dan kebajikan yang menjadi aspirasi MPP bagi sesi kali ini.
“Sudah tentu suara dan hak kebajikan pelajar wanita perlu saya utamakan kerana peluang ini hanya sekali dan tidak akan disia-siakan.
“Malah, barisan MPP sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik,” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.
Bakat kepemimpinannya dibentuk sejak sekolah rendah lagi dan diteruskan di Unisza dengan menyertai Majlis Kolej Kediaman sebanyak dua kali di samping MPP.
Ini adalah penyertaan kali kedua beliau dalam MPP dan menjadi pelajar aktif mampu membantu memperkasakan dirinya memasuki alam kerjaya kelak. -UTUSAN










