JERANTUT: Pahlawan terbilang Melayu, Mat Kilau sentiasa berpesan supaya sekalian rakyat sentiasa menjunjung institusi diraja demi permuafakatan dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Mat Kilau berkali-kali mengingatkan tentang perkara itu setiap kali bertemunya di rumahnya di Paya Besar, Kuantan pada 1970.
“Mat Kilau sentiasa berkata bahawa institusi diraja tidak boleh dipermudahkan apatah lagi diperlekehkan.
“Saya bangkitkan ingatan Mat Kilau ini kerana sejak akhir-akhir ini, generasi baharu dilihat kurang memahami kedudukan institusi diraja yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Aripin berkata, Mat Kilau memberitahu, institusi beraja di negeri ini diangkat dan dimartabatkan dengan cukup kukuh dan sempurna.
“Sultan Pahang 1, Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah diangkat dengan adat tradisi yang sempurna. Menang perang dan mendapat sokongan pembesar Pahang dan rakyat.
“Jadi, Mat Kilau berkali-kali mengingatkan bahawa sultan adalah payung kita. Kita mesti setia, sayang negeri dan sayang bangsa. Kata Mat Kilau, kita hendak duduk di mana kalau kita tidak ada negeri?” katanya.
Beliau berkata, pahlawan terbilang Melayu itu juga berterusan menyatakan bahawa peperangan menentang penjajah adalah seumur hidup.
“Penjajah bukan sahaja menjajah negeri tetapi juga fikiran kita. Oleh itu, Mat Kilau mengingatkan rakyat supaya setia pada raja dan jujur dalam kehidupan.
“Mat Kilau mengisytiharkan dirinya di Masjid Pulau Tawar, Jerantut pada 26 Disember 1969 bahawa dia adalah pahlawan Mat Kilau yang menentang Inggeris (1891-1895),” katanya.
Mat Kilau adalah anak Tok Gajah atau Imam Perang Rasu. Dilahirkan di Pulau Tawar, Jerantut pada 1848 dan meninggal dunia di Paya Besar pada 1970 ketika usia 122 tahun. – UTUSAN










