Ais krim Alisa setanding jenama terkenal

Ais krim Alisa setanding jenama terkenal

MOHAMAD Alif Izudin Tajudin menghabiskan kira-kira RM20,000 untuk memulakan perniagaan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mohamad Alif Izudin Tajudin menggunakan semua duit simpanannya pada 2022 untuk memulakan perniagaan ais krim berjenama Alisa Ice Cream.

Sejak memulakan usahanya itu, Alisa Ice Cream mempunyai tujuh jenis perisa iaitu termasuk strawberi, coklat, jagung, tembikai dan merancang mengeluarkan perisa durian.

Dia memulakan perusahaan itu dengan membeli mesin penghasilan ais krim terpakai dan menjual secara jualan but kereta atau  car boot sale beberapa tempat di Perak serta Pulau Pinang.

Pemuda berusia 31 tahun itu berkata, cabaran yang dihadapi untuk memulakan perusahaan tersebut ialah dari segi modal dan ilmu pembuatan aiskrim.

“Saya mengambil risiko tinggi dengan menggunakan semua simpanan saya untuk memulakan perniagaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menghabiskan kira-kira RM20,000 untuk memulakan perniagaan tersebut selain bergelut untuk menembusi dan mengekalkan produknya di dalam pasaran.

Produknya kini boleh didapati di beberapa stesen minyak di Perak dan Pulau Pinang dengan harga jualan antara RM2 hingg RM5 setiap satu.

Jelas Mohamad Alif Izudin, pengeluaran produk ais krimnya dibuat di bengkel terletak di Parit dan Chemor, Perak dan merancang produknya dijual di setiap daerah Perak serta Semenanjung Malaysia.

“Saya mempunyai perancangan untuk mengeluarkan lagi pelbagai jenis produk di atas jenama Alisa selain ais krim. Saya juga mahu memastikan kualiti air krim Alisa setanding dan bersaing dengan jenama besar lain. Itu perancangan lima tahun sejak 2022.

Usahanya juga mendapat bantuan dari segi tapak jualan dan kursus kemahiran daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menceritakan bagaimana dia bermula, Mohamad Alif Izudin berkata, beliau pada mulanya bekerja sebagai pembantu penyediaan makanan di sebuah kem tentera di Taiping dan terfikir mahu mencari pendapatan sampingan untuk menampung keluarga.

“Jadi saya dan isteri berbincang perniagaan apa yang boleh dilakukan. Jadi tercetusnya idea untuk memulakan perniagaan ais krim kerana boleh disimpan lama.

“Kami bermula dengan berniaga ais krim cedok atau kon secara katering di majlis-majlis perkahwinan.

“Selepas itu kami memulakan perniagaan ais krim jenis popsicle kerana kami mahu memasarkan produk ini ke beberapa stesen minyak di sekitar Ipoh,” katanya.

Perniagaan itu kini menjadi mata pencarian utama pemuda itu, dengan dibantu tiga orang pekerja secara separuh masa dengan melakukan tiga kali pengeluaran dalam seminggu.

Kata beliau, pihaknya kini giat menaikkan jenama Alisa Ice Cream termasuk menyertai program-program anjuran badan kerajaan dan swasta.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×