17,000 kanak-kanak Gaza hidup sendirian

17,000 kanak-kanak Gaza hidup sendirian

SEORANG budak lelaki membawa tong kosong di Rafah untuk mengisi air di selatan Gaza. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak di Gaza diting­galkan tanpa ditemani atau dipisahkan hampir empat bulan selepas perang.

Lapor Arab News, Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di wilayah Palestin, Jonathan Crickx berkata, setiap kanak-kanak di Gaza mempunyai kisah yang menyayat hati iaitu tentang kehilangan dan kesedihan.

“Angka ini (17,000) sepadan d­engan satu peratus daripada kese­luruhan penduduk yang dipindahkan iaitu 1.7 juta orang,” katanya pada taklimat media di Geneva, melalui pautan video dari Baitulmaqdis.

SUKAR KESAN IDENTITI

Crickx berkata, agak sukar mengesan identiti kanak-kanak berkenaan kerana mereka dibawa ke hospital dalam keadaan cedera atau terkejut selain langsung tidak boleh menyebut nama sendiri.

Beliau berkata, semasa konflik, adalah perkara biasa bagi keluarga besar untuk menjaga anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, di Gaza, kata Crickx, disebabkan kekura­ngan makanan, air atau tempat tinggal, saudara mara mereka sendiri tertekan dan meninggalkan mereka kerana menghadapi cabaran untuk menjaga keperluan keluarga sendiri.

Secara umumnya, UNICEF mengasingkan kanak-kanak dalam dua kategori iaitu mereka yang tanpa ibu bapa manakala kanak-kanak yang tidak ditema­ni ialah mereka yang terpisah dan juga tanpa saudara mara yang lain.

KESIHATAN MENTAL TERUK

Beliau berkata, kesihatan mental kanak-kanak di Gaza terjejas teruk akibat perang.

“Mereka menunjukkan simp­tom seperti tahap kebimbangan berterusan yang sangat tinggi, hilang selera makan, mereka tidak boleh tidur, mereka meng­alami ledakan emosi atau panik setiap kali mereka mendengar pengeboman,” jelasnya.

Sebelum konflik meletus, UNICEF menganggarkan lebih 500,000 kanak-kanak di Gaza memerlukan sokongan kesihatan mental dan psiko-sosial.

Kini, kata Crickx, dia percaya bahawa hampir semua kanak-kanak memerlukan bantuan sedemikian – lebih daripada satu juta kanak-kanak.

Kanak-kanak tidak ada kaitan dengan konflik ini. Namun, mereka menderita seperti kanak-kanak tidak sepatutnya menderita.

“Tiada kanak-kanak boleh terdedah kepada tahap keganasan yang dilihat pada 7 Oktober lalu atau kepada tahap keganasan yang kita saksikan sejak itu,” ujarnya.

Beliau menggesa gencatan senjata supaya UNICEF dapat menjalankan pengiraan sewajarnya terhadap kanak-kanak yang tidak ditemani atau dipisahkan, mengesan saudara-mara dan menyampaikan sokongan kesihatan mental.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×