Universiti Multimedia Malaysia (MMU), menawarkan yuran istimewa serendah RM6,000 bagi program Asasi dan yuran kemasukan khas untuk pelajar baharu pada sesi pengambilan April ini.
Ia ditawarkan kepada semua pelajar Asasi yang layak namun terkecuali bagi program undang-undang. Lebih menarik, pengecualian yuran kemasukan juga disediakan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, inisiatif itu diambil berdasarkan keadaan semasa yang berdepan dengan pandemik Covid-19 sehingga membawa kepada isu kewangan dalam kalangan pelajar.

Maka, langkah mengurangkan yuran pengajian dapat memastikan pelajar-pelajar yang layak dapat melanjutkan pengajian ke menara gading demi masa depan yang lebih cerah.
“Ia juga sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan tinggi yang terbaik. Walaupun wabak ketika ini menjadi satu kekangan dalam sektor pengajian tinggi, namun inilah masa terbaik untuk mengubah cabaran kepada peluang,” katanya.
Tambah Mazliham, inisiatif ini menggambarkan komitmen universiti dalam melaksanakan matlamatnya melahirkan tenaga mahir digital masa depan yang dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran tinggi menerusi program serta sukatan pengajian terkini di universiti berkenaan.
Sejajar dengan kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (MoHE) yang membenarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon tempat di universiti menggunakan keputusan percubaan SPM, maka mereka boleh berbuat demikian untuk melanjutkan pengajian di peringkat Asasi dan Diploma di MMU.
Universiti yang mempunyai dua kampus di Cyberjaya, Selangor dan Melaka itu menawarkan program Pasca Siswazah dalam mod kerja kursus, penyelidikan dan mod campuran.
Para pelajar yang berminat boleh memilih pengajian dalam talian atau secara jarak jauh (ODL) dalam jurusan Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan (E-MBA), Sarjana Multimedia (Pembelajaran Digital) dan Sarjana Sains Komputer dalam Kejuruteraan Perisian.
Pelajar turut boleh memohon menggunakan pengalaman kerja melalui Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana. MMU menerima sijil APEL A, iaitu pensijilan yang memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja.
Selepas diterima masuk sebagai pelajar, mereka berpeluang memohon APEL C yang membolehkan pengalaman dan pengetahuan terdahulu, digunakan untuk mendapat pindah kredit mata pelajaran ke dalam program akademik.










