PETALING JAYA: Moto ‘Halal itu mesti, Sedap itu pasti’ membuatkan Arwaafood Enterprise (Arwaa Food) yakin dengan produk mi segeranya kerana telah mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2022.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Arwaa Food, Mohd. Ab Hadi Ab Kaderi, 34, berkata, produk yang dikeluarkan oleh Arwaa Food telah mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Jakim untuk menjamin kesuciannya.
Jelas beliau, sebagai umat Islam, sijil halal itu akan membuatkan pelanggan baharu atau sedia ada boleh menikmati tanpa rasa ragu selaras dengan moto syarikat itu.
Menurut Mohd. Ab Hadi, pelanggan akan lebih percaya dan jenama produk juga akan lebih kukuh kerana sijil halal bukan mudah untuk diperoleh.
“Sijil halal ini dapat membantu menguatkan lagi kepercayaan pelanggan terhadap perniagaan kita. Insya-Allah, jika pelanggan percaya maka permintaan akan semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, Arwaa Food diusahakan bersama tiga rakan kongsi yang lain iaitu Ardell Aryana, 34; Mhd Nizar, 38; dan Nadzmi Adhwa, 31 yang dimulakan pada tahun 2021 di fasa pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, beliau berkata, Arwaa Food mempunyai tiga produk mi segera yang menggunakan bahan asas sunnah seperti kurma, kismis dan saffron yang laris dipasaran.
“Produk kami adalah Mee Kari opah, Mee Sup Tulang Opah dan Mee Sotong Opah yang sangat mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.
Selain itu, Ab Hadi berkata, Arwaa Food memilih menggunakan konsep ejen untuk berkongsi rezeki dengan mereka berbanding dipasarkan di pasar raya.
“Kami kini mempunyai 60 ejen aktif di seluruh semenanjung Malaysia buat masa sekarang,” katanya.-UTUSAN










