KECEMERLANGAN akademik merupakan sasaran utama sistem pendidikan negara sejak dahulu lagi. Pendidikan negara diperkasa dari tahun ke tahun bertujuan melahirkan warganegara yang mampu mencapai kecemerlangan akademik meliputi pelbagai bidang.
Hasrat menyuburkan Malaysia Madani turut mengambil kira aspek ilmu pengetahuan malah menekankan perihal kearifan tempatan yang pastinya dapat dicapai dengan lahirnya generasi berilmu serta memiliki kecemerlangan akademik mengikut bidang tujahan masing-masing.
Dalam ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sempena Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024, beliau menekankan 20 landasan penting bagi meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Perkara pertama yang disentuh ialah melibatkan pembentukan “otak dan watak” yang menetapkan kecemerlangan akademik dan keterpujian sahsiah. Ini jelas membuktikan kepentingan menggabungkan kecemerlangan akademik dengan keperibadian mahasiswa dan tidak boleh dilihat kedua-duanya sebagai entiti yang berasingan tanpa sebarang perkaitan.
Kecemerlangan akademik tidak boleh hanya diukur dengan pencapaian purata nilai gred kumulatif (PNGK) tinggi semata-mata tanpa melihat aspek sahsiah diri pelajar. Sudah tiba masanya kemahiran insaniah diberi perhatian kembali dalam sistem pendidikan tinggi negara kerana inilah wadah yang dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mahasiswa sepanjang berada di kampus.
Kemahiran insaniah tidak wajar hanya ditekankan dalam kokurikulum sahaja, malah sepatutnya diberi penekanan dalam silibus kurikulum mahasiswa merentasi pelbagai disiplin ilmu.
Kemahiran insaniah yang menekankan aspek seperti komunikasi, kepimpinan, etika dan nilai profesional, serta beberapa perkara lagi mestilah diperkasa dalam sistem pendidikan tinggi negara agar nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam diri mahasiswa.
Universiti perlu menjadi pusat ilmu yang bukan sahaja berjaya membentuk manusia memiliki otak yang cemerlang tetapi juga berupaya melahirkan watak yang luhur.
Universiti bukan tempat untuk melahirkan ’robot’ yang hanya mampu menerima percaturan dan perisian maklumat, sebaliknya universiti merupakan sebuah taman ilmu dan budi yang mampu melahirkan Mahasiswa Bitara.
Mahasiswa Bitara perlu dilahirkan seramai mungkin malah menjadi agenda utama semua institusi pendidikan tinggi dalam negara. Ini bertujuan memastikan Malaysia bakal diurus oleh golongan ilmuan yang berkeupayaan menyelesaikan setiap permasalahan melanda dengan akal budi yang berpaksikan ilmu dan nilai.
Dengan kata lain, universiti perlu berperanan untuk memastikan setiap kecemerlangan akademik yang diraih mahasiswa tidak hanya tercatat dalam sekeping ijazah semata-mata, tanpa juga melibatkan penilaian sahsiah dan jati diri mereka.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa terdapat dua tujuan utama yang perlu dicapai dalam proses pendidikan oaoti kesempurnaan insani yang membuatkan manusia semakin dekat kepada Allah dan mencapai kebahagiaan hidup.
Kecemerlangan akademik tanpa keluhuran jiwa hanya akan menjadi sia-sia kerana tidak akan dapat membahagiakan kehidupan. Hanya dengan jiwa yang luhur, manusia mampu mengurus alam sebaiknya.
Sebenarnya, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja dapat menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka seperti tolong-menolong, bekerjasama, bertolak ansur, prihatin, ikhlas dan sebagainya, namun ia memberi peluang kepada mereka untuk meneroka dimensi baharu dalam bidang ilmu masing-masing.
Keberadaan yang hampir dengan masyarakat akan membuatkan mahasiswa mengetahui permasalahan yang berlaku seterusnya bertindak untuk memanfaatkan ilmu yang ada bagi membantu masyarakat.
Mahasiswa Bitara bukan sahaja berjaya mencapai kecemerlangan akademik tetapi juga memiliki keluhuran jiwa agar mereka mampu menjadi warganegara Malaysia yang budiman. Kecemerlangan akademik semata-mata boleh menjadikan seseorang individu hanya mementingkan dirinya sendiri tanpa mempedulikan orang lain.
Sebaliknya orang yang cemerlang akademik beserta keluhuran jiwa yang dimilikinya akan dapat berbakti dan memberi manfaat kepada orang lain.
Usaha melahirkan mahasiswa yang mencapai kecemerlangan akademik beserta keluhuran jiwa memerlukan penglibatan semua pihak termasuk ahli akademik, pentadbir universiti serta pihak industri. Semua pihak perlu menjunjung agenda keluhuran jiwa agar hasrat untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang secara holistik dapat dicapai.
Para pensyarah perlu memainkan peranan penting dalam membimbing mahasiswa agar dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri. Proses pengajaran tidak boleh hanya berlaku dalam dewan kuliah semata-mata sebaliknya kehidupan seharian perlu dibimbing dan diberi perhatian.
Program mentor-mentee perlu diperkasakan agar mahasiswa dapat terus dibimbing bukan sahaja berkaitan pelajaran tetapi juga tentang kehidupan.
Para penyelidik di universiti juga perlu memikirkan kaedah baharu bagi menangani isu-isu yang melanda kehidupan hari ini. Kajian penyelidikan mestilah berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang melanda kehidupan manusia dan tidak hanya memberi fokus kepada aspek pengkomersialan semata-mata.
Teruskan mengkaji, menyelidik, menemukan perkara baharu tetapi dalam masa yang sama penemuan hasil kajian dapat memberi manfaat kepada kehidupan insani.
Pihak pentadbir universiti pula berperanan untuk membawa hala tuju manusia yang tidak hanya berfokus kepada aspek material sahaja, lalu mengabaikan aspek nilai dan kerohanian. Pelaksanaan polisi dan aktiviti di universiti mestilah menekankan aspek nilai dan kerohanian termasuk hubungan dengan alam sekitar.
Selain itu, pihak industri dan agensi yang terlibat secara langsung dengan pendidikan tinggi tidak boleh berlepas tangan dalam usaha melahirkan Mahasiswa Bitara.
Keseimbangan antara matlamat keuntungan perniagaan dan komersil dengan tuntutan keluhuran jiwa diberi perhatian agar mahasiswa lebih mampu bersaing dalam dunia teknologi masa kini.
Khatimahnya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama erat dalam usaha melahirkan mahasiswa yang memiliki kecemerlangan akademik beserta keluhuran jiwa.
Semua institusi pengajian tinggi di Malaysia perlu memacu usaha bagi menjayakan hasrat pendidikan tinggi negara menerusi kurikulum, kemenjadian mahasiswa, ahli akademik, penyelidikan, pengurusan universiti serta seluruh pihak yang terlibat terdiri daripada industri, korporat, agensi dan sebagainya.
Setiap langkah perlu menitikberatkan keperluan jiwa agar lahir nanti mahasiswa yang cemerlang beserta keluhuran jiwa yang dapat memakmurkan negara ini. – UTUSAN
PROF. DATUK DR. FADZLI ADAM ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).











