Penyokong Sang Kenari resah dengan ‘mod senyap’ KDA

Penyokong Sang Kenari resah dengan ‘mod senyap’ KDA  

MOHAMMAD Adhan Mat Aji (tengah) dan Nik Mohd Syarafan Nik Kamarulzaman (dua dari kanan) menunjukkan kenyataan media mereka mewakili kelab penyokong pasukan Kedah dalam sidang akhbar di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penyokong pasukan bola sepak Kedah menggesa pemilik dan pengurusan Kedah Darul Aman (KDA FC) tampil menjelaskan beberapa isu besar melibatkan pasukan itu yang kini meresahkan mereka.

Menurut wakil kepada kelab penyokong pasukan hijau kuning itu, Mohammad Adhan Mat Aji, isu seperti tunggakan gaji, peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC dan penggantinya dikhuatiri menjejaskan pasukan untuk beraksi di Liga Malaysia.

Katanya, mereka ingin mengetahui daripada pengurusan KDA FC sendiri tentang isu tunggakan gaji yang sedia maklum di seluruh tanah air dan dilaporkan media baru-baru ini.

“Pihak pemilik kelab dan pengurusan belum pun mengumumkan status terkini tentang tunggakan gaji walaupun Liga Malaysia akan bermula pada Mei ini. Sepatutnya isu gaji tertunggak ini diselesaikan dengan segera.

“Kedua, baru-baru ini kita dikejutkan dengan peletakan jawatan CEO, jadi kami penyokong mohon penjelasan. Pasukan lain sudah buat persediaan. Jadi kami gesa pemilik dan pengurusan kelab selesaikan isu status KDA yang masih kekal di Liga Super atau diturunkan ke Liga M3,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan pemain KDA kini seolah-olah hilang arah tuju apabila terpaksa menanggung tunggakan gaji antara tiga hingga empat bulan yang tidak dibayar sejak tahun lalu.

Di sebalik kemelut itu, KDA mengumumkan pula peletakan jawatan CEO mereka, Khamal Idris Ali secara mengejut pada Khamis lalu yang menyandang jawatan berkenaan sejak pertengahan 2020.

Mengulas lanjut kata Mohammad Adhan, apa jua keputusan dibuat oleh pemilik dan pengurusan KDA FC melibatkan pasukan kesayangan mereka itu kelak, para penyokong serta peminat Kedah akan terus berada di belakang bagi memberi sokongan.

“Selepas beberapa lama, pengurusan kelab mendiamkan diri dan tak beritahu perkembangan terkini tentang perancangan untuk 2024. Kami yang mewakili kelab penyokong mohon agar pengurusan adakan sesi bersama penyokong untuk mengetahui perancangan dan persiapan hadapi Liga M.

“Kami tak kisah pasukan bermain di Liga M3 atau utama. Namun mereka harus cerita keadaan sebenar. Andai turun ke Liga M3 sekali pun kami terima dengan hati terbuka. Penyokong akan kekal dan akan bertambah walaupun pengurusan dan pemain silih berganti. Dengar rintihan penyokong dan berkongsilah suka duka dengan kami,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd. Syarafan Nik Kamarulzaman berkata, pihaknya berharap KDA FC dapat mengotakan janji untuk mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya enam bulan sekali bersama kelab penyokong.

“Sebenarnya ada wakil kelab penyokong baru-baru ini minta nak bertemu dan sebelum ini lagi mereka berjanji untuk adakan pertemuan setiap enam bulan sekali tambahan dalam bulan-bulan terakhir sebelum Liga M bermula.

“Namun pengurusan berada dalam ‘mod senyap’ dan buat kami semua tertanya-tanya tentang isu ini. Zaman sekarang ada media sosial dan apa saja perkembangan akan dihidu oleh penyokong.

“Kalau benda betul pun bukan kami nak marah atau maki, kita nak tahu kerana kita sayangkan pasukan. Walaupun diturunkan ke Liga M3 sekali pun, kita akan tetap di belakang pengurusan dan pasukan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×