MEMBACA tajuk Mingguan Malaysia, Ahad lalu, Anwar – Bukan gagal, cuma belum lagi membuatkan saya teringat satu istilah cukup popular yang selalu disebut Presiden PKR itu.
Que Sera Sera berupa satu tajuk lagu dendangan Doris Day, penyanyi Amerika Syarikat lewat 1950-an. Maksudnya, apa yang terjadi, terjadilah. Masa depan di luar kawalan.
Ungkapan que sera sera pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2015 semasa beliau tenang mengetahui keputusan kes melibatkan dirinya sekitar Februari tahun itu.
Kali kedua, que sera sera terpacul ketika dia mengulas ringkas persepakatan Pas-UMNO pada 2018.
Anwar sebenarnya sudah terlepas tiga kali peluang menjadi Perdana Menteri kali kelima, ketujuh dan kelapan. Kali pertama, kalau dia bersabar sedikit, tidak terpengaruh dengan ‘punahsihat-punahsihat’ sekelilingnya dengan tidak terjah bosnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun-tahun 1990-an, barangkali jawatan nombor satu itu sudah jadi miliknya. Tapi pada 1998, beliau dipecat daripada UMNO dan kerajaan kerana isu moral.
Kali kedua, peluang keemasan Anwar muncul pada malam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei 2018 semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mencipta kejutan bersejarah menumbangkan kerajaan enam dekad Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO.
Mana tidaknya, PKR meraih 47 kerusi Dewan Rakyat terbanyak dalam PH. Malah kesemua parti dalam gabungan politik PH memakai lambang PKR bertanding PRU-14, sementelah majlis Dr. Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong agak lewat selepas keputusan. Sayangnya, Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ‘terlepas kapal terbang’.
Dan kali ketiga, tentu sahaja kalau Dr. Mahathir jujur, ikhlas melunaskan berulang kali janjinya untuk menyerahkan tampuk kerajaan cukup tempoh dua tahun – dari 9 Mei 2018 ke tarikh peralihan 21 Februari 2020 – kepada Anwar untuk melangkah masuk Seri Perdana. Tetapi semua maklum akan Dr. Mahathir yang kekal dengan Mahathirisme-nya.
Saya membangkitkan kisah ‘kempunan’ ini kerana situasi politik Malaysia hari ini begitu getir, apa lagi untuk menggugat penyandang jawatan.
Waktu ini pun begitu diuar-uarkan kerjasama antara PKR dengan UMNO, kononnya untuk membentuk jajaran politik baharu menghadapi PRU-15. Anwar dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia terbitan 14 Mac itu pun sudah mengesahkan: “(Perbincangan) dengan pimpinan parti dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita (PKR) lebih faham mereka (UMNO) dan mereka lebih faham kita.”
Jadi, adakah Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan?
Difahamkan, PN ‘nak pergi’ hingga ke 124 kerusi Parlimen sementara ada ‘tempoh’ ketika ini. Kalau boleh dihindari PRU-15, penggal pentadbiran mahu dicukupkan sehingga 2023.
“Tidak timbul hendak dipercepatkan PRU-15,” demikian kata seorang rakan politik kepada saya, semalam.
‘TERJUN BANGUNAN’
Sewajarnyakah peluang menghabiskan pentadbiran sepenggal harus diberi kepada kerajaan PN? Alasan di sebelah kerajaan, “kita sudah bagi ruang ‘22 bulan’, tetapi mereka gagal. Jika mahu buat juga PRU, ibarat diri sendiri pilih ‘terjun bangunan,’ kerana bukannya pun (tuntutan PRU) atas kehendak rakyat. Bahkan, gabungan politik yang terurai hari ini (bila UMNO menyepi) bukannya salah sesiapa (pembangkang), elok UMNO salahkan diri sendiri.”
Kata mereka lagi, tidak adil untuk kerajaan PN yang baru ‘setahun jagung’ ini diperlakukan sebegitu rupa (desakan PRU) sebelum dinilai keberkesanannya. Apatah lagi, kerajaan amat bekerja keras membendung penularan pandemik Covid-19.
Tambah lagi pula, purata mereka dalam Kabinet tidak cukup pengalaman politik mereka. Yang di luar harus berlapang dada dengan team baharu ini. Pasukan yang belum cukup pengalaman, apa lagi yang kali pertama jadi menteri seperti Datuk Seri Rina Harun, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk Seri Shamsul Annuar Nasarah, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan beberapa yang lain. Namun, jangan sesekali diperbandingkan dengan menteri-menteri daripada UMNO dahulu. Mereka sudah lebih 60 tahun di persada serta terlatih oleh pemerintah sejak zaman berzaman.
Maka sudah tentu Kabinet hari ini mengambil masa untuk timba ilmu. Dengan beberapa kerat yang ada pengalaman, menteri-menteri tertentu tentu sekali tidak menyangka dapat duduk di jawatan itu. Ibarat bulan jatuh ke riba.
PASUKAN KOMUNIKASI PUTRAJAYA
Pasukan komunikasi kerajaan perlu belajar dari sejarah lepas. Di era kerajaan sebelum 2018, fiil kumpulan komunikasi mereka menggajikan ramai penulis upahan serta cybertrooper tegar. Ini sehinggakan sebahagian rakyat mendapat maklumat yang salah. Blogger yang ‘cari makan’ hinggap pada orang politik tertentu, sebelum ‘dioperasikan’.
Pasukan komunikasi di ‘tingkat’ Putrajaya harus agresif mengurus pandangan dan persepsi buruk publik kepada kerajaan PN. Pasukan ini mesti mantap. Jangan pandang ringan. Nanti jatuh terjelupuk dalam lubang yang sama.
Satu, dua insiden baru-baru ini ‘nampak tak cantik.’ Antaranya, tanpa kelibat duta khas Timur Tengah bertaraf menteri semasa lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi.
Demikian juga ‘tangkap layar’ WhatsApp antara dua pemimpin parti gabungan PN berkaitan projek di sebuah negeri di utara tanah air. Tak sempat hendak dipadam kerana ada ‘hantu raya’ sudah baca dan tularkan.
Ada juga ucapan yang dikatakan secara langsung. Tetapi rupa-rupanya rakaman awal. Dikesan sudah dua kali.
Hindari daripada menganugerahkan projek-projek kepada kroni secara terang-terangan selain pastikan gabungan yang akan masuk medan tempur PRU-15 bebas daripada isu kluster mahkamah.
Juga yang cukup menghairankan, kenapa ada orang kuat Pas ‘menyerang’ menteri agama dalam isu kalimah Allah? Kenapa tidak ‘hentam’ sahaja ketua sendiri.
Jangan nanti dijaja dikatakan parti Islam, tetapi ‘kaku dan kelu’ setelah beralih arah dan larut dengan jawatan dan kemewahan hidup.
Sukar dibaca politik hari ini. Berubah setiap minit dan jam. Usah bimbang kepada kritikan membina demi sepenggal pentadbiran yang didamba.
Ayuh kerajaan PN, buktikan kemampuan!
DATUK DR. AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.










