Liga Hoki Malaysia: N. Sembilan belasah kelab dari Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Liga Hoki Malaysia: N. Sembilan belasah kelab dari Pulau Pinang

PEMAIN Negeri Sembilan (jersi kuning) melakukan asakan ke kubu Mutiara Impian MSSPP-PSHA dari Pulau Pinang dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB 2024 di Stadium Hoki Seremban 2, Seremban petang tadi.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan meneruskan kemaraan dalam Liga Hoki Malaysia TNB 2024 apabila menang selesa 6-1 ke atas pasukan dari Pulau Pinang, Mutiara Impian MSSPP-PSHA dalam aksi di Stadium Hoki Seremban 2, di sini petang tadi.

Hujan ketika perlawanan dimulakan tidak menghalang tuan rumah daripada memanfaatkan peluang apabila menjaringkan gol pertama melalui pemain kebangsaan, Anith Humairah Baharudin hasil pukulan sudut penalti seawal minit pertama.

Negeri Sembilan yang berazam untuk mempertahankan pencapaian merangkul tiga piala dalam kejohanan musim lalu melakukan asakan ke kubu pasukan pelawat yang diketuai Farah Hanim Ahmad Sobri.

Pasukan tuan rumah terus menunjukkan aksi meyakinkan apabila menyumbat dua gol padang melalui Zaty Alyani Muhamad Zubir pada minit ke-23 dan ke-26.

Anith Humairah terus merobek gawang lawan apabila menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Langkah Negeri Sembilan mendapatkan khidmat pemain import dari negara China ternyata berbaloi apabila Li Meiling menjaringkan gol kelima berpunca daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-50.

Ketika pasukan tuan rumah asyik mengasak kubu lawan, Mutiara Impian MSSPP-PSHA mencuri peluang ketika berlaku perebutan di depan pintu gol pada minit ke-55.

Nurhanie Najwa Tarmizi menjaringkan gol tunggal pasukan pelawat menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mashitah Ab. Khalid.

Seorang lagi pemain import dari China, Xing Zhen Zhen melengkapkan kempen Negeri Sembilan dalam perlawanan hari ini dengan menjaringkan gol keenam pada minit ke-59.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×