SEBERANG PERAI: Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan proses penyelarasan sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian itu dapat disegerakan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia sejajar dengan reformasi pendidikan bagi memastikan kurikulum dan isu berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.
“Mesyuarat jawatan kuasa khas ini sudah berlangsung dan kita akan maklumkan dari masa ke semasa perkembangan, apa yang telah pun kita jayakan dalam konteks untuk prasekolah ini.
“Antara lain termasuk juga keluasan prasekolah yang akan kita bincangkan, dan dari segi kualiti pendidikan prasekolah itu sendiri yang sudah semestinya menjadi sebahagian daripada agenda reformasi,” katanya selepas merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2024 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di Nibong Tebal di sini, semalam.
Terdahulu, Jemaah Menteri memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak lebih terjamin dan menyeluruh.
Pada 24 Januari lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Kementerian Pendidikan sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.
Katanya, Jemaah Menteri mendapati wujud kualiti pendidikan prasekolah yang pelbagai di seluruh negara justeru, ia harus diselaraskan.
Sementara itu, Fadhlina memberitahu, lebih RM700 juta telah disalurkan Kementerian Pendidikan menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi meringankan perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan Mac ini.
Menurutnya, program penyerahan bantuan itu masih berjalan dan dijangka selesai pada 11 Februari ini. – UTUSAN










